KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf Jalan Entabai-Rantau Limau Fasa II telah diluluskan dengan kos pembinaan sebanyak RM70 juta.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Malaysia ke-15.
“Untuk makluman, projek Menaiktaraf Jalan Entabai-Rantau Limau Fasa II telah diluluskan pada 2024, iaitu di bawah RP4, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
“Skop projek ini adalah untuk menaik taraf jalan tanah atau berbatu yang sedia ada sepanjang 9.5 kilometer ke jalan berturap selebar 6 meter JKR standard R1.
“Jalan ini, yang mana jajarannya bermula dari Jalan Entabai melalui Nanga Bulo ke Rantau Limau, akan menggunakan kos perbelanjaan RM70 juta,” kata Zahid.
Tambahnya lagi, status semasa projek berkenaan adalah pada peringkat pelaksanaan, dan Makmal Kajian Nilai (VA) telah dilaksanakan pada 19-21 Ogos 2024.
Malah projek tersebut juga dalam proses lantikan perunding dan dijangka akan ditender pada suku keempat tahun 2025.
Pada masa yang sama, Larry menyifatkan projek jalan ini sebagai amat penting dan ditunggu-tunggu oleh rakyat Julau, lebih-lebih lagi di kawasan tersebut.
“Siapnya jalan ini nanti akan memberi keselesaan kepada penduduk setempat, lebih-lebih lagi berkaitan keselamatan melalui jalan yang sempurna.
“Malah, jalan ini akan menjadi begitu penting untuk membawa lebih banyak pembangunan terhadap kawasan tersebut dan projek ini adalah sebuah projek yang cukup besar daripada Kerajaan Pusat bagi Julau.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Pusat di atas keprihatinan dan sentiasa mendengar rintihan rakyat Julau yang inginkan jalan yang sempurna,” ujar Larry.


