ARTIKEL

Wilfred Yap bersama pegawai JKR menyerahkan Surat Setuju Terima kepada wakil kontraktor Gemilang Indah.

Projek Parit RM300,000 Atasi Isu Banjir Di Kota Sentosa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Isu perparitan dan banjir kilat yang telah lama membelenggu penduduk di kawasan Batu Tujuh, khususnya di hadapan Perpustakaan Kota Sentosa, Tadika Dewan Perniagaan Batu Tujuh dan Dewan Persatuan Komuniti Batu Tujuh, kini bakal ditangani menerusi pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan di Jalan Kuching Ranger Depot.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap, projek berkenaan yang dilaksanakan di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023, melibatkan pembinaan longkang konkrit bertetulang berukuran 1.2 meter lebar, dengan kedalaman antara 1.2 hingga 1.5 meter dan sepanjang kira-kira 300 meter.

“Nilai keseluruhan projek ini ialah sebanyak RM300,000 dan akan menangani masalah limpahan air hujan yang berulang saban tahun. Masalah ini bukan sahaja menjejaskan kelancaran aktiviti harian penduduk, malah mengundang risiko kepada pengguna jalan raya.

“Selain itu, keadaan struktur tanah di bahu jalan yang mengalami hakisan jelas turut memburukkan keadaan dan sekiranya tidak ditangani, boleh menjejaskan kestabilan serta keselamatan laluan tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Lawatan tapak bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching telah diadakan hari ini bagi menyerahkan Surat Setuju Terima kepada kontraktor pelaksana, Gemilang Indah, sekali gus menandakan permulaan rasmi projek tersebut.

Katanya, projek itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menangani aduan dan masalah penduduk dengan cara yang praktikal dan berkesan.

“Saya ambil serius setiap laporan yang diterima daripada penduduk.

“Projek ini merupakan satu contoh bagaimana kami mengambil tindakan bagi meningkatkan keselamatan awam serta kualiti hidup masyarakat setempat,” ujarnya.

Wilfred menambah, sistem perparitan baharu itu bukan sahaja akan mempercepatkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir, malah membantu mencegah kerosakan jalan serta melindungi struktur daripada hakisan berterusan.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan bahawa kejayaan projek sedemikian mencerminkan pendekatan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menumpukan kepada penyelesaian sebenar dan bukan sekadar janji manis.

“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa bersedia mendengar aduan rakyat dan bekerjasama rapat dengan pihak JKR, pemimpin komuniti dan penduduk untuk memastikan isu infrastruktur dapat ditangani secara menyeluruh.

“Saya juga menggalakkan orang ramai untuk terus menghubungi pusat khidmat saya agar tiada masalah, besar atau kecil, yang terlepas daripada perhatian,” katanya lagi.

Kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula serta-merta dan dijangka siap menjelang pertengahan November 2025, tertakluk kepada keadaan cuaca.

BERITA LAIN

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan