ARTIKEL

Dr. Sim ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

Projek Pembetungan Kuching capai 92.4 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MARCELLA NATHASIA

KUCHING: Kemajuan projek Sistem Pembetungan Berpusat Kuching Pakej 2 yang menelan kos RM750 juta telah disemak semula kepada 92.4 peratus siap, berbanding 99.7 peratus seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, projek itu dijangka siap menjelang Ogos 2026.

“Semakan menurun ini disebabkan penambahan kritikal jumlah kerja penyambungan premis pada penghujung pelaksanaan projek,” katanya pada ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, reka bentuk bagi Sistem Pembetungan Berpusat Miri Fasa 2 dengan nilai skim RM450 juta, seperti yang dilaporkan sebelum ini telah siap.

“Projek kini berada pada peringkat akhir dokumentasi tender dan dijadualkan untuk ditender pada suku kedua tahun 2026,” jelasnya.

Beliau menambah, bagi projek Sistem Pembetungan Berpusat Kuching Zon 1 Pakej 3 dengan nilai skim RM382 juta, peringkat reka bentuk terperinci kini mencapai 85 peratus siap.

“Selain itu, projek Sistem Pembetungan Berpusat Kota Samarahan Fasa 1 dengan nilai skim RM650 juta kini berada pada peringkat reka bentuk awal.

“Makmal Penilaian Nilai dijadualkan diadakan pada Jun 2026 dan tender kerja dijangka dipanggil pada tahun 2027,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, perjanjian pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi rasionalisasi sistem pembetungan untuk kawasan tadahan Utara-Selatan, Bintulu, dengan nilai skim RM225 juta telah dimuktamadkan.

“Projek ini kini berada pada peringkat perolehan perkhidmatan perunding,” dedahnya.

Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan permohonan bagi penambahbaikan sistem rawatan kumbahan di Uma Bakah, Sungai Asap, dengan nilai skim RM4.4 juta.

“Projek penambahbaikan ini akan bermula sebaik sahaja perjanjian pinjaman Kerajaan Persekutuan dimuktamadkan,” kongsinya.

Menurutnya, kerja fizikal bagi empat projek Loji Rawatan Enap Cemar Septik (SSTP) di Betong, Sarikei, Kapit dan Limbang dengan jumlah kos RM60 juta dijangka bermula sepenuhnya pada tahun 2026.

Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan Kajian Pelan Induk Pengurusan Air Sisa bagi Bintulu dengan nilai skim RM2 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 Pelan Boleh Pinda pertama.

“Perjanjian Pinjaman Kerajaan Persekutuan kini sedang diproses dan perolehan perkhidmatan perunding akan dimulakan sebaik sahaja pinjaman tersebut dimuktamadkan.

“Kajian Pelan Induk Pembetungan amat penting dalam menentukan hala tuju dan peluasan sistem pembetungan berpusat di Sarawak,” tegasnya.

BERITA LAIN

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil