KUCHING: Kerja fizikal empat Loji Rawatan Enap Cemar (SSTP) di Betong, Sarikei, Kapit dan Limbang dijangka bermula sepenuhnya tahun depan selepas projek berkenaan ditangguhkan sebelum ini oleh Kerajaan Persekutuan.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, SSTP Sri Aman–Betong diserahkan kepada kontraktor pada 31 Oktober ini, manakala tender bagi tiga lagi SSTP akan dipanggil sepanjang 2026.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, projek Sistem Pembetungan Berpusat Miri Fasa 2 bernilai RM450 juta kini berada pada peringkat reka bentuk terperinci dan dijangka ditender pada suku pertama 2026.
“Sementara itu, Kuching Package 2 bernilai RM750 juta telah mencapai kemajuan 99.7 peratus dan disasarkan siap sepenuhnya pada pertengahan 2026.
“Bagi Kuching Zone 1 Package 3 bernilai RM382 juta, kerja reka bentuk terperinci sedang dilaksanakan dan tender dijadual dipanggil pada suku kedua 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), hari ini.
Projek Kota Samarahan Fasa 1 bernilai RM650 juta pula berada pada peringkat reka bentuk awal, dengan proses tender dijangka dilaksanakan pada 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Kerajaan Persekutuan turut meluluskan Kajian Pelan Induk Pengurusan Air Sisa untuk Bintulu di bawah RMK-13 RP1 bernilai RM2 juta, dan perolehan perunding akan dimulakan sebaik perjanjian pinjaman dimuktamadkan.

