ARTIKEL

Richard Wee ketika ditemui pemberita pada Upacara Penyucian Kuil Ching San Yan Mazu di Jalan Kampung Muara Tebas di sini, hari ini.

Projek Pemuliharaan Kuil Warisan 200 Tahun Telan Kos RM9 Juta Hampir Siap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Projek pembinaan dan pemuliharaan Kuil Ching San Yan Mazu di Muara Tebas yang menelan kos hampir RM9 juta kini hampir siap apabila kemajuan kerja telah mencecah kira-kira 90 peratus.

Presiden Gabungan Persatuan Cina Sarawak, Datuk Sri Richard Wee berkata, projek berkenaan mula dibina secara rasmi pada 2019 dan dibiayai sebahagiannya melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain dengan sumbangan sekitar RM4 juta.

Dr. Sim ketika ditemui pemberita pada Upacara Penyucian Kuil Ching San Yan Mazu di Jalan Kampung Muara Tebas di sini, hari ini.

“Kebanyakan bahan binaan seperti arca, jubin dan bumbung diimport khas dari China bagi mengekalkan keaslian seni bina tradisional kuil ini.

“Setakat ini, kerja pembinaan telah mencapai 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Upacara Penyucian Kuil Ching San Yan Mazu di Jalan Kampung Muara Tebas di sini, hari ini.

Menurut beliau, pembukaan pra-rasmi kuil berkenaan diadakan hari ini bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Perasmian rasmi dicadangkan pada Mei bersempena sambutan hari jadi Dewi Mazu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata permohonan tambahan berjumlah RM2 juta telah dikemukakan bagi menyiapkan baki kerja pembinaan.

MERIAH… penganut Dewi Mazu menyertai upacara penyucian di sini, hari ini.

“Selain itu, terdapat cadangan untuk membangunkan tebatan kecil di sekitar kawasan kuil,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, kuil yang telah wujud lebih 200 tahun di muara Sungai Sarawak itu merupakan warisan keagamaan masyarakat Cina serta simbol keharmonian antara kaum dan agama di negeri ini.

“Kuil ini yang dikenali sebagai Kuil Dewi Laut atau Mazu telah menjadi simbol perlindungan kepada pelaut dan pedagang sejak dahulu.

“Kewujudannya mencerminkan asas pembentukan Sarawak yang berteraskan keharmonian dan sikap saling menghormati,” ujarnya.

Beliau berkata, pembukaan semula kuil berkenaan diyakini mampu merancakkan sektor pelancongan selain memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Tegas Dr. Sim, lokasi kuil yang menghadap Tanjung Embang itu mempunyai nilai strategik.

“Ini kerana ia berhampiran projek pembangunan utama negeri termasuk Pelabuhan Laut Dalam, terminal gas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sarawak.

“Projek ini merupakan antara projek strategik terpenting bagi kemakmuran masa depan Sarawak,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sarawak kini berada pada kedudukan strategik dengan kelebihan sumber tenaga hijau, sektor minyak dan gas serta tenaga boleh baharu termasuk hidroelektrik dan hidrogen.

“Oleh itu, pembangunan negeri perlu diteruskan secara mampan melalui pelaburan dalam pendidikan agar generasi akan datang dihormati kerana keupayaan dan nilai, bukan semata-mata kekayaan,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU