BINTULU: Projek perumahan terbengkalai selama tujuh tahun di daerah Kemena akhirnya menunjukkan perkembangan positif selepas Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) berjaya memudah cara penyelesaian pelbagai isu teknikal.
Timbalan menterinya, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, projek itu melibatkan pembinaan 16 unit rumah berkembar tiga tingkat, 24 unit rumah berkembar dua tingkat, 70 unit teres dua tingkat, 46 unit teres dua tingkat kos rendah serta 64 unit rumah bandar dua hingga tiga tingkat.
Sejak tarikh siap asal pada Disember 2017 katanya, projek berkenaan mengalami kelewatan serius sehingga menjejaskan seramai 75 pembeli rumah.
“Kementerian tersebut melaksanakan pemantauan rapi dan berterusan selain mengadakan libat urus bersama dengan semua pihak berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Jabatan Tanah dan Survei, Bintulu Development Authority, pemaju serta pembeli rumah.

“Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP) pada 17 Oktober 2024 serta siri perbincangan susulan, isu teknikal berjaya diselesaikan sehingga membolehkan pemaju memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (OP) secara berperingkat” katanya.
Sijil OP pertama melibatkan 38 unit rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar dua tingkat dikeluarkan pada 14 Julai 2025, manakala OP kedua bagi 46 unit rumah teres dua tingkat pula dikeluarkan pada 6 Ogos 2025.

“Perkembangan ini mencerminkan keberkesanan JKTP sebagai platform khusus untuk membincangkan isu, mendapatkan pandangan teknikal daripada agensi berkaitan serta merumuskan penyelesaian secara kolaboratif bagi mempercepat penyiapan projek perumahan,” jelasnya.
Bagi baki unit yang masih dalam proses pembaikan, kerja-kerja sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam masa terdekat.


