BAU: Projek pembangunan pos kawalan sempadan di Sabah dan Sarawak perlu diberi keutamaan serta dilaksanakan secara segera kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, projek berkaitan keselamatan negara tidak boleh dilaksanakan mengikut proses biasa kerana ia perlu disiapkan berdasarkan garis masa yang ditetapkan.
Beliau berkata, perkara itu turut ditekankan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), selain menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).
“Projek yang berkaitan dengan MKN, terutamanya di sempadan kita, perlu diberi keutamaan,” katanya.
“Apabila kita bercakap mengenai keselamatan negara, kita perlu melaksanakan projek ini bukan seperti projek biasa; ini projek yang perlu diletakkan dalam kadar segera dan penting,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Pusat Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Serikin, Bau, hari ini.
Mustapha berkata, projek ICQS Serikin kini mencapai kemajuan kira-kira 11 peratus dan dilaporkan mendahului jadual pelaksanaan sebanyak enam hari.
Bagaimanapun, katanya, beberapa perkara perlu diberi perhatian bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual, khususnya berkaitan pembinaan jalan raya serta penyediaan kemudahan utiliti.
“Antara cabarannya ialah lokasi sempadan yang jauh dari segi logistik, selain infrastruktur asas seperti jalan raya, elektrik, air dan telekomunikasi,” ujarnya.
“Kalau bangunan siap tetapi utiliti tidak ada, perkara itu juga boleh menyebabkan kelewatan projek,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata beliau turut meninjau tapak Pos Kawalan Sempadan Telok Melano yang kini masih dalam proses tender.
Katanya, tender terakhir bagi projek berkenaan telah dilaksanakan dan kini menunggu pelantikan kontraktor serta pengeluaran Surat Setuju Terima (SST).
“Kalau di Serikin, dijangka siap penghujung tahun depan, manakala projek di Telok Melano mempunyai tempoh pelaksanaan kira-kira dua tahun selepas SST dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata, teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini mengenai kelewatan projek sempadan menjadi antara sebab projek berkenaan perlu dipercepatkan, terutama projek yang berkaitan secara langsung dengan keselamatan negara.
“Jangan anggap projek yang melibatkan keselamatan negara ini projek biasa; ini yang perlu difahami oleh semua agensi, jabatan, kementerian, kontraktor dan pihak lain yang terlibat, jadi ia perlu diletakkan dalam kuadran segera dan penting,” katanya.
Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas kerjasama yang diberikan dalam membantu mempercepatkan pelaksanaan projek berkaitan sempadan di negeri ini.



