DARO: Bekalan air terawat dan bersih adalah mencukupi untuk kegunaan harian penduduk di Daro.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, ini susulan kapasiti bekalan air yang telah ditambah menerusi projek ‘Acute Water System’, dengan peruntukan sebanyak RM12.5 juta dan tambahan kapasiti 4 MLD.
“Sebelum ini kapasiti air di Daro adalah sebanyak 1.64 juta liter air sehari (MLD) dan akan menjadi 5.64 MLD keseluruhannya selepas adanya sistem ini.”
“Pelaksanaan projek ini tentunya menyelesaikan isu mengenai bekalan air bersih dan memberi manfaat langsung kepada penduduk di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Projek ‘Acute System’ Daro Bahagian Mukah, di Kampung Pangtray, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Julaihi turut meluluskan serta-merta peruntukan untuk membina saluran paip selari sepanjang 6.2 kilometer di Daro.

Jelasnya, ini bagi memastikan pengagihan air yang lebih stabil dan berkesan susulan paip sedia ada tidak mampu menampung tekanan air yang lebih tinggi daripada loji baharu.
Dalam pada itu, Julaihi turut memberitahu sebanyak 12 projek bekalan air yang sedang dibina di Bahagian Mukah berjumlah RM714.72 juta di pelbagai peringkat.
“Lima projek telah siap dilaksanakan dengan kos sekitar RM55.1 juta melibatkan pembinaan tangki aras tinggi, pembinaan stesen pam penggalak serta pemasangan saluran paip baharu.”
“Manakala, tujuh lagi projek bekalan air kini dalam status fasa pembinaan dan perancangan dengan anggaran kos sekitar RM659.6 juta.”
“Selain itu, dua projek juga turut dilaksanakan bagi penggantian saluran paip yang lama dan usang dengan kos sekitar RM1.15 juta.”
“Projek-projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak, telah dirancang dengan teliti dan rapi oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak yang bertindak sebagai agensi pelaksana,” jelasnya lagi.
Katanya lagi, di Bahagian Mukah, pihaknya telah meluluskan peruntukan untuk menaik taraf Loji Rawatan Air di Basong dari 60 MLD kepada 120 MLD.
Ujarnya, ini bermakna loji tersebut akan menjadi loji rawatan air utama untuk Bahagian Mukah.
Di samping itu, Julaihi turut memberitahu bahawa bekalan air di kawasan luar bandar keseluruhannya adalah pada kadar 71 peratus, sedangkan di bandar sudah melebihi 90 peratus dan dari segi purata hanya 85 peratus.
“Disebabkan itu, banyak lagi kerja-kerja yang perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran liputan 100 peratus bekalan air bersih menjelang tahun 2030,” tambahnya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad dan Pengarah JBALB Sarawak, Awang Mohammad Fadillah Awang Rezuan.

