SARIKEI: Projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) penanaman rock melon menggunakan sistem hibrid HydroFertigation di Kampung Rajang menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila tanaman tersebut kini mula membuahkan hasil.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kemajuan itu bukan sahaja membuktikan keberkesanan teknologi pertanian pintar, malah mempamerkan potensi besar penggunaan kaedah moden dalam meningkatkan hasil serta kualiti tanaman di kawasan luar bandar.
Beliau menjelaskan inisiatif yang diusahakan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) itu berjaya mencatat kadar pertumbuhan yang baik sejak peringkat awal penanaman pada Mac lepas.
“Kita akui pada peringkat awal projek ini berdepan cabaran teknikal, namun saya difahamkan masalah tersebut telah berjaya diatasi,” katanya selepas melakukan tinjauan ke tapak projek berkenaan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, perkembangan positif itu turut disokong oleh penggunaan teknologi pertanian pintar yang dipantau secara sistematik bagi memastikan setiap peringkat pertumbuhan tanaman berada pada tahap optimum.
Selain itu, bimbingan teknikal daripada pakar industri, Skyscraper Airhydro Industries Sdn Bhd serta pembiayaan daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Sarawak turut memperkukuh potensi projek berkenaan.
“Fokus utama projek ini adalah untuk menghasilkan buah berkualiti tinggi melalui kawalan secara saintifik, termasuk tahap kemanisan (Brix) serta tekstur isi yang menepati piawaian premium pasaran.
“Dua varieti istimewa iaitu melon Lily dan Rose kini berada pada peringkat matang dan dijangka boleh dituai buat kali pertama menjelang penghujung Mei ini,” katanya.
Beliau berkata, keunikan sistem yang digunakan ialah ia tidak memerlukan pam untuk pengaliran nutrien serta tidak menggunakan medium cocopeat.
Hal ini menjadikannya lebih cekap dan inovatif di samping berpotensi menjadi model kepada pengusaha lain dalam memperluas penggunaan teknologi fertigasi serta hidroponik moden di Sarawak.

