IGAN: Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif, khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, pelaksanaan projek RTP di kawasan Igan diyakini dapat memudahkan urusan serta memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.

“Saya berharap agar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) mengambil perhatian terhadap setiap projek yang dilaksanakan.
“Ini bagi memastikan projek tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua,” katanya ketika menyaksikan penyerahan tapak mula dan penyerahan siap projek di sekitar kawasan Igan, hari ini.
Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut memuji kontraktor yang berjaya menyiapkan projek lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau berharap agar lebih ramai kontraktor dapat menyiapkan projek yang sedang dilaksanakan sama ada lebih awal atau mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau turut menyaksikan penyerahan tapak mula projek naik taraf jalan-jalan di kawasan Kampung Sharif Sekerang, Igan.
Sementara itu, antara projek yang telah siap di bawah RTP ADUN Jemoreng ialah projek naik taraf jalan berdekatan rumah Hamdin Dom hingga Salehudin di Kampung Baru Ismail, projek naik taraf parit di kawasan Baru Dagang, serta projek naik taraf parit di kawasan Baru Dagang, Igan.


