BINTANGOR: Kerajaan Sarawak menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) terus komited meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan kerja pendawaian semula di Rumah Panjang Regina, Sungai Selidap, di kawasan berkenaan.
Penduduk rumah panjang terbabit kini menarik nafas lega selepas projek berkenaan siap sepenuhnya, sekali gus mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa dan selamat untuk lebih 100 orang penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata projek yang melibatkan 22 pintu rumah panjang itu menelan kos sebanyak RM99,000.
Menurut beliau, kerja-kerja pendawaian semula dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bermula 20 Ogos dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada 19 November tahun ini.
Katanya, keutamaan projek berkenaan adalah bagi memastikan aspek keselamatan penduduk sentiasa terjamin memandangkan sistem pendawaian lama yang tidak teratur boleh mengundang risiko seperti litar pintas dan kebakaran.
“Saya berasa gembira apabila projek RTP ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan serta memberi manfaat langsung kepada penduduk,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan projek berkenaan, hari ini.
Beliau menjelaskan, kerja pendawaian semula itu dilaksanakan mengikut spesifikasi teknikal semasa bagi mengurangkan risiko kebakaran serta memastikan penggunaan bekalan elektrik yang lebih cekap dan selamat.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei bertindak sebagai agensi pelaksana, manakala lantikan kontraktor dibuat menerusi kaedah cabutan undi.
Langkah tersebut, jelas beliau, adalah selaras dengan prosedur dan garis panduan kerajaan bagi menjamin ketelusan serta kecekapan dalam pelaksanaan projek RTP.
Kuong Hiing menegaskan kejayaan projek itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap projek pembangunan luar bandar dilaksanakan secara berkesan dan memberi impak positif terhadap kualiti hidup rakyat.

