ARTIKEL

Abang Johari bersama barisan tetamu kehormat lain menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak antara PTTEP Sarawak Oil Limited dan BHSB yang berlangsung di Hotel Sheraton. Foto RAMIDI SUBARI.

Projek Sirung perkukuh ekonomi Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Majlis menandatangani kontrak antara PTTEP Sarawak Oil Limited dan Brooke Holding Sdn. Bhd. (BHSB) mencerminkan usaha Sarawak dalam membangunkan sumber aslinya, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, majlis pemeteraian Kontrak Penyediaan Perkhidmatan Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) Platform Pengeluaran Sirung itu bukan sekadar kontrak, tetapi melambangkan sesuatu yang jauh lebih besar dan bermakna.

“Hari ini merupakan hari yang membanggakan bagi Sarawak kerana menerusi usaha ini, ia mencerminkan bagaimana Sarawak memperkukuhkan ekonominya.

“Lebih penting, inisiatif ini mencerminkan bagaimana kekayaan yang dijana daripada anugerah semula jadi kita diterjemahkan kepada manfaat yang bermakna untuk rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Kontrak Penyediaan Perkhidmatan EPC bagi Platform Pengeluaran Sirung di Hotel Sheraton, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni serta barisan tetamu kehormat lain.

Turut kelihatan Setiausaha Kewangan Sarawak merangkap Pengerusi BHSB Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Pengurus Negara PTTEP Sarawak Oil Limited Vitoon Chaisomboonpan.

Kontrak tersebut telah dianugerahkan kepada BHSB oleh PTTEP Sarawak Oil Limited pada 5 Februari 2026 dan dijangka siap pada Februari 2028.

Projek Sirung merupakan projek pembangunan medan hidrokarbon yang terletak sekitar 140 kilometer daripada kompleks Gas Asli Cecair Malaysia di Bintulu.

Medan tersebut disokong oleh sebuah platform pengeluaran baharu yang direka untuk memudahkan pengeluaran minyak dan gas bagi Blok Luar Pesisir SK405B dengan purata kedalaman air di blok tersebut antara 40 hingga 50 meter.

Projek ini melibatkan sekitar 8,500 tan metrik komponen utama platform pengeluaran melibatkan bahagian atas dan struktur bawah, dengan skop kerja merangkumi kerja EPC platform pengeluaran serta kerja kejuruteraan dan perolehan bagi penyambungan kemudahan sedia ada di kawasan medan lama.

Pelaksanaan projek tersebut sekali gus menjadikannya projek skop bahagian atas dan struktur bawah terbesar dalam industri minyak dan gas yang pernah dilaksanakan oleh BHSB.

Bagi pelaksanaan projek itu, syarikat berkenaan akan menggunakan kedua-dua limbungan fabrikasinya di Demak Laut untuk struktur jaket dan limbungan utama di Sejingkat bagi pembinaan komponen utama platform pengeluaran.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU