BELAGA: Usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik di Sarawak terus diperkasa menerusi pelaksanaan Projek Talian Penghantaran 275kV Bakun–Murum Litar Ke-3 dan Ke-4.
Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power, Ir. Bunyak Lunyong, berkata projek berkenaan menjadi pemangkin dalam meningkatkan ketahanan grid serta memastikan bekalan tenaga lebih stabil dan berdaya tahan di Sarawak.
Ujar beliau, ia merupakan langkah strategik dalam memperkukuh kestabilan sistem grid elektrik di negeri ini.
“Ini akan memastikan bekalan tenaga yang lebih konsisten kepada pengguna domestik dan industri,” katanya ketika berucap pada upacara tradisional Pela Daleh di Pencawang Murum Junction, Simpang Urun, hari ini.
Upacara anjuran Pejabat Daerah Belaga dengan kerjasama Sarawak Energy itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, serta dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon.
Jelas Bunyak, projek sepanjang kira-kira 21.2 kilometer itu melibatkan pembinaan talian penghantaran dua litar 275kV yang menghubungkan Empangan Hidroelektrik Bakun dengan Murum Junction.
Projek yang bermula pada Disember 2025 itu mencapai kemajuan sebanyak 8.64 peratus setakat Mac 2026.
“Fasa awal pelaksanaan memberi tumpuan kepada kerja-kerja kejuruteraan, pembersihan jajaran serta kajian tanah secara menyeluruh, dengan sasaran siap menjelang November 2027.
“Peningkatan rangkaian penghantaran ini memainkan peranan penting dalam menambah baik kestabilan sistem serta mengurangkan risiko gangguan bekalan berskala besar, di samping memastikan tenaga sebanyak 2,520 megawatt yang dijana dari Empangan Hidroelektrik Bakun dapat disalurkan dengan lebih efisien,” jelasnya.
Tambah Bunyak, selain meningkatkan keupayaan grid, pelaksanaan upacara Pela Daleh mencerminkan komitmen Sarawak Energy dalam menghormati adat dan budaya masyarakat setempat serta mengukuhkan hubungan dengan komuniti.
Katanya, ia sebagai tanda penghormatan terhadap adat dan budaya masyarakat Orang Ulu.
“Pendekatan tersebut selari dengan usaha pelaburan sosial syarikat yang turut memberi penekanan kepada pemeliharaan warisan budaya dan pembangunan komuniti,” katanya.
Sebagai kesinambungan, upacara Pela Daleh turut dijalankan di beberapa penempatan rumah panjang termasuk Uma Badeng, Uma Nyaving, Uma Apan, Uma Sambop Long Semutut, Uma Sambop Batu Pilau dan Rh Kejaman Lasah bagi memastikan setiap komuniti terlibat secara menyeluruh.

