KUCHING: Majlis Daerah Lundu (MDL) mengemukakan peruntukan tambahan berjumlah RM37 juta untuk menyiapkan tapak pelupusan sampah baharu di Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) Opar.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Penguang Manggil berkata, MDL mengemukakan peruntukan tersebut agar projek itu dapat disiapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Projek yang pada awalnya dibangunkan di bawah RMK11 ini tidak dapat disiapkan mengikut jadual berikutan daripada peruntukan awal berjumlah RM5 juta tidak mencukupi.
“Sehubungan itu, MDL yang menjadi penyokong utama projek telah mengemukakan semula projek dan memohon peruntukan tambahan berjumlah RM37 juta.
“Sekurang-kurangnya, ini membolehkan tapak pelupusan tahap 3 dapat dibangunkan untuk kegunaan MDL dan Majlis Daerah Bau (MDB) di bawah perlaksanaan RMK12,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu mengenai perkembangan projek Tapak Pelupusan Sampah Baharu Opar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.


