Projek terbesar Sarawak

KAPIT: Empangan hidroelektrik (HEP) Baleh yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2026 akan membolehkan Sarawak mempunyai tenaga yang mencukupi untuk memenuhi peningkatan permintaan elektrik industri yang dijangka pesat ketika negeri menuju status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Justeru, Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata, HEP Baleh sangat penting untuk menjamin kemampuan tenaga yang diperlukan untuk pembangunan Sarawak.

“Walaupun kita mungkin mempunyai kekuatan yang cukup untuk saat ini, kita perlu merancang dan mempersiapkan apa-apa yang ada di hadapan kita untuk masa depan.

“Kekurangan tenaga adalah halangan utama untuk kemakmuran dan kemajuan di negara lain dan kami tidak mahu perkara ini berlaku di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan kerja Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke Empangan Hidroelektrik Baleh, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion; Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong; Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili.

Sementara itu, Abdul Hamed berkata, HEP Baleh merupakan projek untuk memberi manfaat kepada seluruh Sarawak dalam jangka panjang.

“Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan projek ini tetap berjalan lancar walaupun terdapat kekangan yang kami hadapi kerana Covid-19 dan cabaran lain,” katanya.

HEP Baleh adalah projek sivil terbesar oleh Sarawak Energy yang akan berfungsi sebagai tonggak tambahan dalam strategi pembaharuan tenaga dan pembangunan Sarawak.

Apabila beroperasi kelak, HEP Baleh akan bergabung dengan empangan hidroelektrik lain di Sarawak yang merangkumi Batang Ai, Murum dan Bakun, sekali gus memperkuatkan aspirasi Sarawak menjadi kuasa serantau untuk tenaga yang boleh diperbaharui dan berpatutan.

Terletak di Sungai Baleh, kira-kira 105 kilometer dari Sungai Rejang di Kapit, empangan berketinggian 188 meter itu merupakan salah satu projek infrastruktur terbesar di Sarawak.

Ia juga merupakan HEP terbesar yang dibangunkan oleh Sarawak Energy dan akan menghasilkan 1,285MW tenaga boleh diperbaharui ke grid apabila ia beroperasi sepenuhnya pada 2026.

Suara Sarawak