SIBUTI: Sebahagian besar titi usang di Kampung Sungai Dalam sudah siap diganti baharu dan dapat dilalui penduduk seperti biasa. Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata demikian semasa mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan mengenai kemudahan asas di Kampung Sungai Dalam, semalam.
Lukanisman menjelaskan, isu titi usang seperti yang dilaporkan, kelulusan daripada Kerajaan Sarawak telah diperoleh untuk melaksanakan projek naik taraf jalan titi fasa satu Kampung Sungan Dalam A dan B. “Saya melawat Kampung Sungai Dalam pada 29 Mac lepas dan sebahagian besar titi kayu telah siap,” katanya sambil memberitahu titi usang seperti dipaparkan akhbar itu dan beliau telah membuat tinjauan untuk tindakan susulan.
Beliau berkata, permohonan telah dikemukakan kepada pihak Pan Borneo untuk membuat laluan baharu memandangkan laluan Pan Borneo tidak melalui jalan sedia ada. “Saya pasti, jentera PKR Rapid Election Force turut mengguna titi yang baharu siap semasa lawatan mereka,” tegasnya.
Mengenai isu elektrik dan air pula, Lukanisman berkata, pemasangan paip air melalui kaedah perkongsian meter, satu meter untuk lima buah rumah.
“Ini ia prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan oleh pihak LAKU Management Sdn Bhd (LAKU) kerana ada berkaitan status tanah dikawasan tersebut. “Begitu juga pemasangan elektrik, pengguna perlu mendapatkan pro forma dari Sarawak Energy dan sebut harga pemasangan meter,” katanya.
Beliau menambah, antara projek siap dan rancangan akan datang ialah projek Dewan Terbuka siap dan dapat diguna untuk aktiviti seperti futsal, cadangan Rumah Gerakan JKKK seterusnya naik taraf titian dan bina baru laluan jalan masuk ke Kampung Sungai Dalam A.
“Selain projek fizikal saya turut menekankan program pembangunan insaniah dan sumber manusia terutama golongan remaja dan muda. Isu mendapatkan kerja kerana kos hidup yang meningkat,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, segala respon dan aduan orang ramai berhubung pembangunan di dalam kawasan Sibuti dialukan.
Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sibuti di Taman Tunku merupakan pejabat paling hampir dengan masyarakat di Kampung Sungai Dalam untuk membuat aduan sewajarnya. “Perhatian saya kepada pembangunan sibuti adalah menyeluruh,” katanya sambil menambah beliau mahu kerajaan pusat mengagih inisiatif kerajaan seperti bantuan kebajikan, bantuan meningkat pendapatan dan sokongan hidup dapat disalur secara efektif.
Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Exco Wanita Kebangsaan PKR Zulhaidah Suboh berkata, Kampung Sungai Dalam memerlukan perhatian serius pihak berkaitan khususnya wakil rakyat berhubung infrastruktur asas utama digunakan penduduk kampung.
Menurut Zulhaidah, sebahagian kemudahan asas berkenaan semakin usang, rosak dan tidak selamat digunakan malah beberapa penduduk masih berdepan masalah ketiadaan kemudahan air dan elektrik.