KUCHING: Projek Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) akan memperkenalkan 56 buah bas henti-henti yang dilengkapi sepenuhnya dengan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV), WIFI, Sistem Penentududukan Global (GPS) dan ciri mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata pelaksanaan projek di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak itu dijangka beroperasi pada awal tahun hadapan.
“Projek ini akan memperkenalkan 56 buah bas henti-henti baharu yang akan beroperasi di 10 laluan di Kuching, seterusnya meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di bandar raya tersebut.
“Laluan ini akan merangkumi kawasan di Kuching seperti Bau, Serian, Bako, Kampung Benuk, Batu Kawa, King’s Centre, Muara Tebas, Taman Malihah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Matang Dua,” katanya.
Kim Shin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM79.18 juta dalam tempoh lima tahun di bawah SBST Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, beliau memberitahu terminal lori Miri yang akan dibina memainkan dua peranan penting untuk menyokong operasi logistik cekap dan mencapai matlamat pengangkutan awam.
Ia diharap dapat meningkatkan keselamatan jalan raya, mengurangkan kesesakan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan.
Setakat ini, kata Kim Shin, kementeriannya dengan kerjasama Jawatankuasa Pemgangkutan Awam Sarawak (SPTC) serta pihak pada peringkat bahagian, termasuk majlis tempatan dan agensi berkaitan, sedang mengenal pasti tapak sesuai bagi terminal lori tersebut.
“Dengan adanya kawasan khusus untuk lori memuat, memunggah, dan meletak kenderaan, kenderaan lori dapat mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh kenderaan berat di jalan raya bandar, dan mengoptimumkan rangkaian logistik,” katanya.
Menurutnya lagi, sebanyak 14 unit bas pintar di Miri telah dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Oktober lalu.
Perkhidmatan bas percuma itu, katanya, merupakan sebahagian daripada Program Bas Pintar Miri dengan peruntukan yang diluluskan sebanyak RM10 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi tempoh awal dua tahun, dan akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-13.

