Proklamasi darurat demi rakyat – Ahmad Ibrahim

KUCHING: Proklamasi darurat akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk bertindak luar daripada normal bagi menyelamatkan rakyat dan mententeramkan keadaan daripada pandemik Covid-19, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim.
Menurutnya dengan kuasa darurat, kerajaan akan dapat menangani serta mengawal penularan Covid-19 dengan lebih berkesan,
“Kuasa ini sangat bagus untuk rakyat terutama dalam kita menghadapi krisis Covid-19, dengan kadar kes yang terlalu tinggi dan menyebabkan setiap orang berisiko tinggi dijangkiti,” katanya.
Beliau mengulas mengenai pelaksanaan proklamasi darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, hari ini.
Menjelas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berkata antara kuasa yang diperolehi kerajaan daripada darurat ini ialah mengarahkan hotel-hotel dijadikan sebagai pusat kuarantin.
“Sebelum ini, semua hotel yang menjadi pusat kuarantin adalah sukarela tetapi banyak juga hotel yang tidak mahu, seperti di Sibu.
“Jadi dengan kuasa darurat, sekiranya perlu maka kerajaan boleh meminta hotel ini menjadi pusat kuarantin…mereka tidak boleh menolak,” katanya.
Selain itu, beliau berkata ia juga membolehkan kerajaan melibatkan hospital swasta untuk merawat pesakit Covid-19.
Katanya sebelum ini, hanya hospital kerajaan digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.
“Dengan kuasa darurat ini, sekiranya hospital kerajaan sudah penuh, maka kerajaan boleh menjadikan hospital swasta untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad berkata kuasa darurat ini juga membolehkan kerajaan merekrut golongan pesara seperti doktor, jururawat, polis dan askar sekiranya kakitangan barisan hadapan tidak mencukupi.