MUKAH: Program Pemerkasaan Usahawan Belia Mukah (PROPUB) akan diadakan di Bilik Seminar, Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan, Politeknik Mukah (PMU) pada 17 hingga 18 April ini.
Program anjuran Politeknik Mukah (PMU) bersama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak Cawangan Mukah, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N57 Tellian dan Biro Pendidikan Mukah itu merupakan inisiatif ADUN Tellian, Royston Valentine.
Ia diadakan untuk membantu peniaga kecil tempatan meningkatkan jualan mereka melalui penggunaan platform digital secara berkesan dan beretika.
Pengarah PMU, Suhaili Aleh berkata, program ini wujud daripada kesedaran bahawa ramai usahawan belia tempatan mempunyai produk dan perniagaan yang berpotensi, namun masih belum memanfaatkan sepenuhnya kuasa platform digital.
“Melalui PROPUB, kami ingin memastikan usahawan belia Mukah tidak ketinggalan dalam arus pemasaran digital yang semakin berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, peserta akan didedahkan dengan kemahiran praktikal pemasaran digital yang relevan dengan keperluan perniagaan masa kini.
Program ini terbuka kepada belia berumur 18 hingga 40 tahun dan terhad kepada 60 peserta sahaja.
Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan rasmi yang dipaparkan pada poster hebahan program sehingga 11 April 2026.



