MUKAH: Kerajaan Persekutuan perlu memberikan penjelasan terbuka mengenai perkembangan proses penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, termasuk garis masa dan status terkini pelaksanaannya supaya rakyat tidak terus tertanya-tanya mengenai tempoh penyelesaian perkara berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yaakub Arbi berkata bahawa pihaknya tidak pernah mempersoalkan keperluan mematuhi Perlembagaan dan undang-undang dalam proses berkenaan, namun prinsip serta prosedur yang digunakan mestilah dilaksanakan secara konsisten tanpa mengamalkan pendekatan berbeza terhadap mana-mana pihak.
Katanya, penambahan 17 kerusi DUN yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak merupakan perkara penting yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan demokrasi dan pentadbiran negeri, justeru proses seterusnya perlu dilaksanakan secara telus.
“Tiada siapa meminta prosedur diketepikan. Kita faham proses persempadanan perlu melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan cadangan akhirnya perlu dibawa mengikut saluran perundangan yang ditetapkan.
“Namun, apabila prosedur dijadikan alasan terhadap kelewatan, persoalan yang wajar ditanya ialah sama ada prinsip dan ukuran yang sama turut digunakan secara konsisten terhadap Sarawak pada masa lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Yaakub berkata, rakyat Sarawak berhak mengetahui kedudukan sebenar proses penambahan 17 kerusi tersebut, termasuk tahap kemajuan semasa, perkara yang masih menjadi kekangan serta jangkaan tempoh untuk proses itu diselesaikan.
Katanya, persoalan berhubung kelewatan itu tidak seharusnya dibiarkan tanpa penjelasan kerana keadaan tersebut berpotensi menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat, sedangkan perkara berkenaan boleh dijelaskan dengan merujuk kepada fakta, dokumen dan rekod rasmi.
Beliau turut menggesa supaya sejarah berkaitan Akta Laut Wilayah 1966 (TSA 1966) dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) diteliti secara objektif bagi memahami bagaimana keputusan yang mempunyai kesan besar terhadap kepentingan Sarawak pernah dibuat pada peringkat Persekutuan.
“Perkara ini bukan bertujuan membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak. Sebaliknya, kita mempunyai rekod Parlimen, Hansard, dokumen perundangan serta rekod rasmi kerajaan yang boleh dirujuk untuk mengetahui asas dan proses di sebalik keputusan yang dibuat ketika itu.
“Jika semuanya dilaksanakan berlandaskan Perlembagaan, kemukakan dokumen dan buktinya. Jika terdapat kekurangan atau kelemahan dalam proses terdahulu, kita juga perlu bersedia mengakuinya dan mencari penyelesaian yang sewajarnya,” katanya.
Abdul Yaakub berkata, isu 17 kerusi DUN tidak wajar dilihat hanya sebagai pertambahan bilangan kerusi, sebaliknya perlu ditempatkan dalam konteks hubungan Persekutuan dan Sarawak serta prinsip federalisme yang menjunjung keadilan, kesaksamaan dan saling menghormati.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk isu berkaitan TSA 1966, PDA 1974 dan penambahan kerusi DUN, tidak sepatutnya hanya muncul sebagai bahan perdebatan politik apabila tiba musim tertentu.
“Jika Sarawak dikehendaki mematuhi setiap ketetapan dan proses yang ditetapkan, maka Kerajaan Persekutuan juga perlu menunjukkan tahap keterbukaan yang sama dalam menjelaskan keputusan terdahulu yang memberi kesan kepada negeri ini.
“Pada asasnya, Sarawak tidak menuntut layanan istimewa. Apa yang diperlukan ialah proses yang adil, telus dan konsisten serta penghormatan terhadap kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, keyakinan rakyat terhadap institusi Persekutuan hanya dapat diperkukuh apabila setiap proses dilaksanakan secara terbuka dan menggunakan ukuran yang sama kepada semua pihak, sambil menegaskan bahawa kepercayaan tidak boleh dibina melalui kenyataan semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan menerusi tindakan.





