ARTIKEL

Proses persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak kini di peringkat akhir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini berada pada peringkat akhir menyediakan syor persempadanan semula bahagian pilihan raya di Sarawak dengan mengambil kira pertambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diluluskan DUN Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada SPR, tempoh lapan tahun bagi membolehkan kajian persempadanan semula di Sarawak telah berakhir pada 21 Ogos 2023.

“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada SPR, tempoh lapan tahun bagi membolehkan semakan persempadanan semula di Sarawak telah berakhir pada 21 Ogos 2023.

“SPR kini sedang memuktamadkan syor persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak dengan mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN yang telah diluluskan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Azalina memaklumkan, cadangan tersebut akan dipamerkan dalam masa terdekat sebagai langkah permulaan proses rasmi kajian persempadanan semula mengikut Perkara 113(9) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam menjalankan kajian ini, SPR diberikan tempoh masa dua tahun untuk menyiapkan kajian berkenaan bermula dari tarikh tersiarnya notis,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi kepastian sama ada proses itu dapat dimuktamadkan sebelum Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu, yang ingin mengetahui sama ada kerajaan boleh memberi jaminan bahawa proses persempadanan semula itu akan selesai sebelum pembubaran DUN Sarawak.

Dalam soalannya, Richard berpandangan penggunaan 82 kerusi DUN sedia ada secara berterusan bukan sahaja tidak selari dengan keputusan yang dibuat oleh Sarawak, malah boleh menjejaskan keperluan pembangunan di kawasan luar bandar yang luas.

Sarawak kali terakhir mengadakan PRN pada Disember 2021. Penggal DUN semasa dijadual berakhir pada Februari 2027, melainkan ia dibubarkan lebih awal, sekali gus menjadikan April 2027 sebagai tarikh akhir pilihan raya perlu diadakan.

Sebelum ini, Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dilaporkan berkata PRN Sarawak akan datang berkemungkinan masih menggunakan 82 kerusi sedia ada sekiranya proses kelulusan bagi 17 kerusi tambahan itu tidak dapat diselesaikan oleh SPR mengikut jadual.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU