ARTIKEL

Gambar Hiasan

Prospek ekonomi Malaysia kekal kukuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta peningkatan aktiviti pelaburan memberi nafas positif kepada ekonomi negara apabila Malaysia dijangka terus mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh terdekat.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, prospek itu turut disokong landskap ekonomi global yang semakin dinamik serta pemulihan perdagangan antarabangsa.

Menurutnya, perkembangan positif berkenaan dicerminkan menerusi Indeks Pelopor (IP) Malaysia yang terus mengekalkan momentum positif apabila mencatatkan pertumbuhan tahunan 1.3 peratus pada Jun 2026. Indeks itu meningkat kepada 114.8 mata berbanding 113.3 mata pada bulan sama tahun lalu.

IP merupakan petunjuk awal kepada titik perubahan dalam kitaran perniagaan serta arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.

DOSM berkata, peningkatan IP didorong terutamanya lonjakan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain sebanyak 35.1 peratus, selain prestasi kukuh import benar semikonduktor sebanyak 14.2 peratus.

“Senario ini selari dengan pengukuhan aktiviti perdagangan Malaysia, khususnya permintaan yang berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perincian prestasi itu dimuatkan dalam laporan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan bagi Jun 2026 yang diterbitkan DOSM. Bagaimanapun, DOSM berkata, prestasi keseluruhan IP diimbangi penurunan beberapa komponen, terutama bilangan syarikat baharu yang didaftarkan.

Pada asas bulanan, IP turut mencatatkan peningkatan marginal 0.02 peratus, disumbangkan oleh import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain sebanyak 0.8 peratus.

“Melihat kepada jangkaan masa hadapan, arah aliran jangka panjang terlicin IP kekal di bawah 100.0 mata,” katanya.

Sementara itu, bagi prestasi ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengukuh 2.6 peratus tahun ke tahun kepada 131.6 mata.

DOSM berkata, peningkatan itu disokong pertumbuhan dalam semua komponen, terutama nilai caruman benar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 16 peratus dan Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit sebanyak 4.1 peratus.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IS meningkat 0.3 peratus, disumbangkan peningkatan kapasiti penggunaan dalam sektor pembuatan sebanyak 0.2 peratus. – Bernama

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU