PRS alu-alukan kehadiran Jugah

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengalu-alukan penyertaan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang ke dalam parti itu setelah beliau memutuskan untuk meninggalkan PKR.

Presidennya Tan Sri James Jemut Masing berkata, kehadiran Jugah amat dialu-alukan sekiranya beliau berminat untuk menyertai PRS.

“Kerusi PRS telah menduduki tempat teratas di Lubok Antu pada masa ini.

“Ini memudahkan saya untuk memutuskan siapa yang bakal dicalonkan menjelang PRU Ke-15,” katanya kepada New Sarawak Tribune di sini.

Terdahulu bekas naib presiden PKR itu mengumumkan untuk keluar dari PKR pada Jumaat lalu.

Jugah terang-terangan menyatakan sokongannya kepada Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

Beliau yang berjaya memenangi kerusi sebagai calon bebas pada PRU Ke-14 lalu bergabung dengan PKR yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Jugah, konflik dalaman yang berlaku dalam PH merupakan punca peletakan jawatan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali gus menjadi kerajaan tumbang.

Justeru, beliau memutuskan untuk keluar PKR setelah mendapat persetujuan daripada penyokongnya demi kepentingan dan pembangunan Lubok Antu.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, langkah Jugah untuk menyokong kerajaan PN dan GPS merupakan tindakan tepat seperti yang termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Persoalannya sekarang apakah beliau mampu berpindah ke parti politik lain dan sejauh mana rasional langkah yang beliau ambil?

“Saya percaya bahawa beliau mampu bertanding sebagai calon Lubok Antu pada PRU akan datang demi kebaikan rakyat di kawasannya,” katanya lagi.

Mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dan Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat yang bergabung dengan PSB, Masing menyifatkan ia sebagai langkah kurang tepat kerana parti itu tidak mempunyai agenda jelas akan pembangunan kawasan luar bandar.

“Nampaknya mereka yang mendakwa sebagai katak pintar yang menyokong Tun Mahathir Mohammad pada saat-saat akhir, salah lompat.

“Katak itu melompat ke kolam yang salah. PSB merupakan parti yang tidak mampu membantu rakyat kecuali dengan adanya sokongan yang kuat,” katanya.