
SIBU: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pasti akan berlaku dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun GPS bukan lagi dalam komponen BN tetapi kedua-dua gabungan itu mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dalam Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Kami memahami antara satu sama lain, kami memahami aspirasi rakyat dan Kerajaan Sarawak, kami lebih memahami sebab hubungan yang lama.
“Walaupun kami berbeza sekarang tetapi kami masih terus bersama, sebagai contoh waktu saya menjadi ketua pembangkang, GPS bersama kami, mereka tidak menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
“Maknanya mereka tetap bersama kami dan bila kita membentuk kerajaan baharu, GPS juga bersama kami…pastinya hubungan itu akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Jalan Seksyen Selangau, Pakej Kerja Jambatan Sungai Kua – Jambatan Sungai Arip, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia di sini, hari ini.
Turut hadir Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Datuk Seri Annuar Musa.
Dalam pada itu, Ismail yang juga Naib Presiden UMNO yakin sokongan GPS kepada BN akan membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah.
“Kalau dulu majoriti mudah membahayakan kerana boleh lompat parti tapi sekarang dengan Akta Lompat Parti, selepas menang tiada siapa pun boleh lompat parti, kalau lompat dia kena kosongkan kerusi untuk pertandingan semula,” katanya.
Manakala mengulas mengenai calon Perdana Menteri, beliau berkata tidak timbul isu pertukaran Perdana Menteri kerana jawatan nombor satu itu bukan diputuskan oleh individu tetapi parti, serta melalui beberapa peringkat seperti Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Biro Politik UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO.
Beliau menambah ia termasuk mesyuarat akar umbi melalui bahagian, dengan 156 daripada 190 bahagian UMNO juga telah membuat usul untuk mencadangkan agar beliau dikekalkan sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
Malah, katanya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga telah membuat kenyataan termasuk UMNO sendiri bahawa tiada perubahan dari segi calon Perdana Menteri.
“Jadi saya percaya tidak sepatutnya berlaku pertukaran (Perdana Menteri) sebab kalau ada pertukaran maka keputusan yang dibuat dalam mesyuarat MKT dan Perhimpunan Agung mesti diundurkan,” katanya.








