KUCHING: Polis Sarawak menerima lima laporan dan membuka dua kertas siasatan berkaitan insiden yang berlaku dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Sarawak.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat menyembur poster gambar calon dan Premier Sarawak dalam kejadian di Kabong.
Katanya, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki yang menyerahkan dua keping poster telah disembur tersebut.
“Sementara, laporan polis diterima di Selangau yang dibuat oleh seorang lelaki yang menerima satu pesanan suara melalui aplikasi Whatsapp mendakwa pengadu ada mengutip bayaran makanan dari sebuah parti politik yang bertanding.
“Pengadu menafikan dakwaan tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998/ Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Manakala beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat penguat kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan tindakan menurunkan bendera parti politik yang dipasang di kawasan yang parti tersebut tidak bertanding.
Katanya, tindakan tersebut didapati melanggar syarat dan peraturan yang telah diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan kes tersebut dirujuk kepada SPR.
“Polis turut menerima laporan yang dibuat di Sibu Jaya. Pengadu menafikan dakwaan seorang lelaki yang datang ke pejabatnya untuk menyemak senarai nama pengundi anaknya.
“Lelaki tersebut mendakwa akan diberi wang sumbangan sebanyak RM200,” katanya.