
BETONG : Calon GPS di kerusi Parlimen Betong Dr Richard Rapu dijangka ‘selesa’ dan tidak berhadapan tugas sukar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.
Menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Richard yang juga ‘anak didik’ Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berhadapan persaingan tiga penjuru untuk merebut kerusi Parlimen Betong yang ditinggalkan Datuk Robert Lawson Chuat.
Beliau ditentang bekas pengetua Patrick Kamis, 58 (PKR) dan calon parti Bebas, Hasbie Satar, 48.
Selepas penamaan calon di Pejabat Daerah Betong, pagi tadi, beliau menyatakan visi untuk menjadikan Betong lebih progresif.
“Saya yakin menang kerana saya telah membuat persiapan agak lama. Saya juga amat bertuah kerana ketiga-tiga Adun iaitu Uggah (Bukit Saban), Adun Layar Datuk Gerald Rentap Jabu dan Adun Saribas Mohammad Razi Sitam telah bekerja keras di kawasan masing-masing sehingga menjadikan kerusi Betong kubu kuat GPS.
“Mereka telah banyak berjasa dalam menyumbang kepada pembangunan Betong.
“Justeru sebagai ahli politik baharu, saya memerlukan banyak sokongan serta bimbingan terutama daripada Uggah sebagai seorang ahli politik veteran.
“Malah, tanggungjawab saya jika saya menang, penting untuk saya bekerjasama rapat dengan mereka bagi menyokong inisiatif menjadikan Betong lebih progresif,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama berharap pengundi di Parlimen Betong akan memberikan sokongan padu demi memastikan kawasan itu kekal sebagai kubu kuat GPS.
“Sokongan padu rakyat akan membalas jasa Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang telah meluluskan penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“BDDA merupakan rancangan meningkatkan tahap kemajuan dan kemakmuran masa depan Betong.
“Kita tidak boleh membiarkan rancangan dan program strategik sedemikian menjadi sia-sia.
“Sehubungan itu, saya menyeru semua pengundi menyokong GPS,” ujarnya.
Pencalonan Richard dicadangkan oleh Uggah dan disokong oleh Razi.
Dianggarkan lebih 2,000 pemimpin dan penyokong kuat GPS mengiringi Richard ke pusat penamaan calon.
Suasana penamaan calon tenang dan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.






