KUCHING: Siapa bakal kekal, siapa tersingkir dan siapa berani melawan arus?
Persoalan itu mula mencetuskan pelbagai spekulasi politik selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan, membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Perhatian kini tertumpu kepada pemilihan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutama nasib penyandang yang sudah beberapa penggal berkhidmat, pemimpin yang mungkin berundur dan muka baharu yang menanti peluang.
Pemerhati dan penganalisis politik yang juga Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Piasau, Jaya Ramba berkata pemilihan calon menjadi antara ujian penting kepada kekuatan GPS dalam menghadapi PRN kali ini.
“Antara kemungkinan yang diperkatakan ialah penyandang yang tidak dicalonkan semula mengambil keputusan menyertai parti lain atau bertanding sebagai calon Bebas. Bagaimanapun, perkara itu masih berupa spekulasi dan bergantung pada keputusan individu terbabit.
“Persoalannya, adakah penyandang lama bersedia memberikan laluan kepada generasi baharu atau masih mahu mempertahankan kerusi masing-masing?
“Pengalaman penting tetapi prestasi dan penerimaan pengundi juga perlu menjadi pertimbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam politik, tegas Jaya, tiada kerusi yang menjadi hak peribadi seseorang selama-lamanya, namun antara prinsip yang perlu diberikan perhatian dalam menilai persaingan dan pembaharuan kepimpinan.
Tambahnya, peringatan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung kemungkinan penyandang tidak dicalonkan semula turut menjadi perhatian.
“Keputusan pencalonan dijangka menguji kesediaan pemimpin menerima pertimbangan parti demi kepentingan bersama.
“Kemunculan calon muda dan wanita juga menjadi antara perkara yang dinanti-nantikan, namun, pembaharuan tidak seharusnya sekadar memenuhi kuota atau melibatkan pertukaran wajah, sebaliknya perlu berdasarkan kemampuan, integriti dan rekod perkhidmatan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, perubahan itu juga perlu dilihat dalam semua parti komponen GPS termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP bagi memastikan pembaharuan kepimpinan tidak tertumpu kepada parti tertentu sahaja.
Pada masa sama, beliau menjelaskan pertindihan kepentingan antara parti komponen boleh menjadi cabaran sekiranya berlaku pertukaran parti dalam kalangan wakil rakyat, terutama di kawasan yang selama ini dianggap sebagai kubu tradisi parti asal.
Katanya, kegagalan mencapai persetujuan calon berpotensi mencetuskan persaingan dalaman, sekali gus membuka ruang kepada calon alternatif.
“Bagaimanapun, penyelesaian tetap bergantung pada kebijaksanaan rundingan dan disiplin gabungan,” ujarnya.



