TANJUNG MANIS: Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan kestabilan politik mesti dipertahankan bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan secara berterusan, khususnya ketika negeri itu bersiap menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemajuan yang dicapai negeri ini merupakan hasil usaha bersama masyarakat pelbagai kaum yang saling membantu dan bekerjasama merentasi generasi.
“Kejayaan Sarawak membangunkan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat tidak boleh dikaitkan dengan sumbangan mana-mana kelompok sahaja, sebaliknya lahir daripada kesepakatan seluruh masyarakat.
“Kestabilan pentadbiran di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut menyediakan ruang untuk kerajaan melaksanakan perancangan pembangunan secara teratur berdasarkan sasaran yang ditetapkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Spun Pile & Pole Factory PMW International Berhad di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, rakyat perlu terus memelihara nilai persefahaman dan saling menghormati agar perbezaan pandangan politik, latar belakang etnik serta pegangan agama tidak menjadi punca perpecahan dalam masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat perpaduan amat penting dalam menghadapi suasana menjelang PRU, ketika rakyat perlu mengutamakan kepentingan bersama berbanding perkara yang boleh menjejaskan hubungan antara satu sama yang lain.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian kepada pengukuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup rakyat, penyertaan sosial yang menyeluruh serta pemuliharaan alam sekitar supaya hasil pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus mempertahankan keamanan dan perpaduan negeri serta menyokong kesinambungan dasar pembangunan kerajaan GPS bagi memastikan Sarawak terus maju dan kesejahteraan rakyat terpelihara.




