ARTIKEL

Fadillah gesa percepat Grid Tenaga ASEAN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Malaysia menggesa kerjasama serantau diperkukuh bagi mempercepat pembangunan Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid) sebagai langkah strategik menjamin keselamatan bekalan elektrik dan memperkukuh daya tahan tenaga rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Amar Fadillah Yusof berkata kesalinghubungan tenaga rentas sempadan bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem bekalan elektrik, malah membuka peluang perdagangan tenaga antara negara anggota ASEAN.

“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, keselamatan tenaga tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai isu ekonomi atau alam sekitar, sebaliknya menjadi keutamaan strategik yang berkait rapat dengan kestabilan dan kemakmuran negara.

Fadillah ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, Singapura, hari ini. | Foto: FB FADILLAH YUSOF

“Keselamatan tenaga bukan lagi sekadar isu ekonomi atau alam sekitar, sebaliknya merupakan keutamaan strategik yang berkait rapat dengan kestabilan, daya tahan dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, Singapura, hari ini.

Selain itu, Fadillah berkata, Malaysia komited melaksanakan peralihan tenaga secara terjamin, mampu milik dan mampan bagi memastikan keperluan rakyat serta industri terus dipenuhi tanpa menjejaskan kepentingan generasi akan datang.

Menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), jelasnya Malaysia menyasarkan tenaga boleh baharu mencapai 70 peratus daripada kapasiti terpasang menjelang 2050, selaras dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih seawal tahun sama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peralihan tenaga tidak boleh bergantung semata-mata pada peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu, sebaliknya perlu disokong infrastruktur grid yang kukuh, teknologi penyimpanan tenaga dan sistem bekalan yang lebih fleksibel.

“Peralihan tenaga bukan sekadar soal menambah kapasiti tenaga boleh baharu. Kita juga memerlukan infrastruktur grid yang lebih kukuh, teknologi penyimpanan tenaga, sistem yang fleksibel serta pelaburan strategik untuk membina ekosistem tenaga yang lebih berdaya tahan,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya Malaysia akan terus mempererat kerjasama dengan Singapura, negara anggota ASEAN dan rakan antarabangsa bagi merealisasikan pembangunan sistem tenaga serantau yang lebih bersepadu.

Pada masa sama, Fadillah memberitahu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital perlu dipertingkat bagi mengoptimumkan operasi sistem tenaga, mengurus permintaan elektrik serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

Menurutnya, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan institusi kewangan juga penting untuk menggerakkan pelaburan yang diperlukan dalam pembangunan infrastruktur tenaga masa hadapan.

Beliau menegaskan tiada negara mampu menghadapi cabaran tenaga masa hadapan secara bersendirian, justeru ASEAN perlu memanfaatkan kekuatan bersama melalui perkongsian kepakaran, teknologi dan sumber.

“Saya percaya bahawa tiada negara yang mampu menghadapi cabaran tenaga masa hadapan secara bersendirian. Kekuatan ASEAN terletak pada keupayaan kita untuk saling melengkapi, berkongsi kepakaran dan membina penyelesaian bersama,” ujarnya.

SIEW merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, penggubal dasar, pemain industri, pelabur dan pakar teknologi bagi membincangkan perkembangan serta hala tuju sektor tenaga global, khususnya di Asia.

Penyertaan Malaysia dalam persidangan itu turut membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam keselamatan bekalan elektrik, pembangunan tenaga boleh baharu dan perdagangan tenaga rentas sempadan, selain menarik pelaburan bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

PETRONAS sumbang 60 set KITSS bernilai RM1.2 juta

SERIAN: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menyumbang 60 set Kit Sains Sarawak (KITSS) bernilai RM1.2 juta bagi memperluas peluang pembelajaran sains secara amali kepada murid di