KUCHING: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Sarawak dijangka menjadi medan penting untuk rakyat menilai kesinambungan agenda pembangunan, kemajuan tuntutan hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta keberkesanan dasar yang dilaksanakan sepanjang penggal lalu.
Penganalisis politik, Datuk Dr Lee Kuok Tiung berkata, antara perkara yang turut menjadi perhatian pengundi ialah pelaksanaan projek pembangunan, kos sara hidup, peluang pekerjaan, serta dasar pendidikan.
“PRU Sarawak sebenarnya bertindak sebagai referendum rakyat ke atas kesinambungan transformasi dan pelan pembangunan Sarawak yang dibawa oleh GPS.
“Antara yang akan dinilai termasuklah inisiatif ekonomi hijau, tenaga hidrogen, penubuhan syarikat penerbangan milik negeri serta penguasaan entiti strategik seperti PETROS,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Tambahnya, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 26 Oktober itu membuka ruang kepada rakyat untuk memberikan mandat baharu dalam menentukan hala tuju politik dan pembangunan negeri bagi penggal seterusnya.
“Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai gabungan yang menerajui kerajaan sementara dengan rekod pentadbiran akan dinilai secara langsung oleh rakyat.
“Pertamanya saya melihat ini peluang untuk memperkukuh mandat politik tempatan.
Sekiranya GPS mampu mengekalkan status quo dan memperkukuh prestasi, sudah pastinya ia memberikan kuasa tawar-menawar yang lebih besar di peringkat Persekutuan untuk menuntut hak-hak di bawah MA63,” jelasnya.
Menurutnya, mandat yang kukuh juga boleh memberi ruang kepada Sarawak mempercepat rundingan berkaitan pemindahan kuasa dan autonomi daripada Kerajaan Persekutuan.
“Isu MA63 kekal antara faktor utama yang dijangka mempengaruhi pertimbangan pengundi pada PRU-13. Selain, pemberian khas kepada Sarawak, pemindahan kuasa pentadbiran serta cadangan peningkatan nisbah kerusi Parlimen.
“Dalam masa sama, kos sara hidup dan peluang pekerjaan turut dijangka menjadi antara isu yang paling dekat dengan kehidupan seharian rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, bantuan Kerajaan Sarawak termasuk subsidi bil elektrik dan air memberi kesan langsung kepada isi rumah ketika kos kehidupan semakin meningkat. Rakyat sekurang-kurangnya mahu merasai kemakmuran fiskal yang diuar-uarkan.
“Bagi golongan berpendidikan tinggi mahupun profesional, mereka juga akan melihat kepada dasar seperti pendidikan tinggi percuma di universiti milik negeri, pengurusan rizab negeri serta tahap ketelusan dan tatakelola projek mega,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan pendidikan tinggi percuma turut menjadi antara dasar yang berpotensi mendapat perhatian pengundi muda dan keluarga kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan akses kepada pendidikan.
“PRU-13 Sarawak ini akan terus menggunakan 82 kerusi DUN sedia ada, memandangkan 17 kerusi tambahan yang diluluskan sebelum ini belum dapat digunakan.
“Keadaan itu memberi implikasi dari sudut perwakilan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai keluasan geografi sangat besar seperti Hulu Rajang, Baram dan Kapit,” katanya.
Beliau berkata, lonjakan jumlah pengundi susulan pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik turut menyebabkan sesetengah kawasan mempunyai jumlah pengundi yang jauh lebih besar berbanding kawasan lain.
“Nilai elektoral menjadi tidak seimbang apabila ada kerusi yang saiz kawasan atau jumlah pengundinya jauh lebih besar berbanding yang lain,” katanya.
Jelasnya, sekiranya 17 kerusi tambahan dapat digunakan, ia juga mampu memberi lebih ruang dalam pengagihan kerusi antara parti komponen GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Bagaimanapun, dengan PRU kali ini kekal menggunakan 82 kerusi, semua parti komponen perlu mencapai persetujuan dalam proses pembahagian kerusi dan penentuan calon,” tambahnya.


