BINTANGOR: Seni puisi perlu dijadikan medium untuk menyemai semangat perpaduan, memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dan mempertahankan warisan bahasa daripada terus terhakis ditelan zaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, penglibatan golongan muda dalam aktiviti kesusasteraan mampu meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan bahasa sebagai lambang identiti serta khazanah masyarakat.
Katanya, penggunaan bahasa kebangsaan bersama bahasa etnik dalam persembahan puisi memperlihatkan keunikan kepelbagaian budaya yang mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum.
“Pendedahan terhadap karya sastera tempatan, termasuk puisi dalam bahasa Iban, juga memberi ruang kepada warisan masyarakat setempat untuk dikenali dan dihargai oleh khalayak lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Seribu Rona Satu Jiwa di Dewan Sri Rajang, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Bintangor, semalam.
Safiee berkata, usaha memperkenalkan seni bahasa dan kesusasteraan sejak di bangku sekolah penting bagi membentuk generasi yang menghormati perbezaan budaya serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap nilai warisan sendiri.
Katanya, perkembangan dunia moden tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan bahasa etnik dan tradisi sastera tempatan, sebaliknya kedua-duanya perlu terus dipelihara melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan kebudayaan.
Beliau turut menegaskan bahawa puisi mempunyai nilai tersendiri kerana bukan sekadar mengungkap keindahan bahasa, malah menjadi wadah untuk menyampaikan pemikiran, emosi dan pengalaman hidup yang mencerminkan nilai sesebuah masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi memperluas penghayatan seni puisi, memperkukuh penggunaan bahasa serta memastikan kepelbagaian budaya terus dihargai dan diwarisi generasi akan datang.



