ARTIKEL

Tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis dari bilik Mahkamah Sesyen 2 di Kuching, hari ini.

Pukul isteri minta rokok, penganggur dihukum penjara dua tahun, tiga sebatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana memukul isterinya menggunakan kabel aci mesin rumput gara-gara mangsa meminta sebatang rokok.

Muhammad Azru’ul Abdul Aziz, 40, dari Kampung Stungkor Baru, Lundu, mengaku bersalah atas dua pertuduhan pindaan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama, kerana menumbuk muka isterinya yang berusia 39 tahun.

Manakala bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama, kerana menyebabkan kecederaan pada perut mangsa yang sama dengan memukulnya menggunakan kabel aci mesin rumput.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Stungkor Baru, sekitar jam 3.00 petang, pada 5 Februari lepas.

Afidah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pindaan pertama, dan penjara dua tahun serta tiga sebatan bagi pertuduhan pindaan kedua terhadap tertuduh.

Selain itu, Afidah memerintahkan tertuduh menjalankan hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 7 Februari lepas.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pertengkaran mulut berlaku antara pengadu dengan suaminya.

Punca pertengkaran kerana isteri tertuduh meminta sebatang rokok daripadanya.

Kerana diselubungi perasaan marah, tertuduh bertindak dengan mengambil kabel aci mesin rumput lalu memukul pengadu pada bahagian punggung sebelah kiri.

Tertuduh sempat meminta maaf daripada isterinya tetapi pengadu memberitahu bahawa dia hendak membuat laporan polis.

Pengadu kemudian masuk ke dalam kereta, diikuti tertuduh yang masuk ke tempat duduk belakang kenderaan tersebut.

Sekali lagi, tertuduh bertindak agresif dengan menumbuk muka dan menarik rambut pengadu.

Merasakan diri tercabar apabila isterinya memberitahu hendak melaporkan kesalahannya kepada polis, tertuduh sendiri menghantar pengadu ke balai polis untuk membuat laporan.

Pengadu juga dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Laporan perubatan mengesahkan pengadu mengalami kecederaan lebam dan luka lebam akibat kejadian itu.

Justeru, tangkapan dibuat terhadap tertuduh pada 7 Februari lepas untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Hasil siasatan mendapati tertuduh sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan menggunakan seunit tali kabel aci mesin rumput.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Xiang Hua, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

BEFR terima Anugerah Platinum MyTQA

BORNEO Empurau Farm & Resort (BEFR), destinasi pertanian dan ekopelancongan bersepadu seluas 69 ekar yang terle-tak di Tarat, Serian, berjaya memperoleh pengiktirafan berprestij pada peringkat