KUCHING: Generasi muda di Sarawak digalakkan untuk menceburi bidang kesihatan bagi melahirkan lebih ramai pakar dan penyelidik untuk menghasilkan produk serta teknologi baharu dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, usaha itu perlu diberi penekanan bermula dari peringkat sekolah bagi memupuk minat, sebelum meneruskan pengajian di peringkat universiti atau institusi pengajian tinggi.
“Golongan muda adalah pelapis masa depan dan kita para pengamal perubatan harus memainkan peranan dengan membuka pintu untuk mereka menerokai kerjaya dalam bidang perubatan bermula dengan memupuk minat dari kecil.
“Usaha ini sedikit sebanyak diyakini berupaya menanam semangat dalam diri mereka untuk menerokai dengan lebih mendalam, sekali gus menyumbang kepada kemajuan sistem penjagaan kesihatan negara pada suatu hari kelak,” katanya.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Hospital Umum Sarawak (HUS) yang dihadiri sekitar 600 pelajar sekolah dan guru dari sekitar Kuching, di sini, hari ini.
“Para pelajar harus menyedari bahawa masa depan kesihatan kita terletak di tangan anda. Malah program hari ini bukan hanya untuk membincangkan peranan tradisional doktor, tetapi bagi memberi penerangan tentang pelbagai peluang pekerjaan yang wujud dalam sektor kesihatan,” jelasnya.
Program sehari tersebut memberi ruang kepada masyarakat khsususnya para pelajar sekolah untuk melihat dengan lebih dekat serta mengenali pelbagai perkhidmatan kesihatan yang disediakan di HUS.


