MIRI: Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah (BSM) Permyjaya memerlukan lebih kurang 26 mesin hemodialisis bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang di sini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, keperluan penambahan mesin itu sangat mendesak berikutan trend peningkatan pesakit buah pinggang di Miri yang semakin membimbangkan.
“Pusat dialisis di Permyjaya buat masa ini mempunyai sebanyak 38 mesin hemodialisis.
“Namun hanya 12 mesin berfungsi, manakala selebihnya masih belum diluluskan penggunaannya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Khidmat Sosial (CSR) Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau juga berpeluang menyantuni 14 pesakit berbangsa Cina sempena Tahun Baru Cina (TBC) pada tahun ini dengan sumbangan wang tunai dan buah limau selain memberikan semangat kepada para pesakit.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datuk Takun Sunggah mewakili Pengarah UKAS Samuel Simon berkata, UKAS sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
“Penganjuran CSR dengan kerjasama Pusat Dialisis BSM Permyjaya ini menggambarkan peranan penting mereka (UKAS) dalam membantu individu dan keluarga yang memerlukan bantuan.
“Selain itu, ia juga menjadi wadah bagi menghubungkan kerajaan dengan rakyat dalam menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan.
Setiausaha Kehormat Pusat Dialisis BSM Permyjaya Tan Lay Yen, Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) Andy Jong Wan Joon dan Presiden Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) Chai Choon Chin turut hadir.


