KUCHING: Pusat Kanser Sarawak bakal menjadi pusat rawatan kanser terbesar dan satu-satunya kemudahan khusus bertaraf penuh di Malaysia, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Menurut beliau, perkara itu merupakan antara projek strategik yang dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Pemantauan Projek Strategik Negara Bil. 3/2025 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, semalam.
“Pusat ini akan dilengkapi dengan 310 katil dengan keluasan lantai kasar kira-kira 154,498 meter persegi serta anggaran kos sebanyak RM1.5 bilion.
“Ia merupakan sebuah kemudahan penting yang telah lama diperlukan oleh Sarawak bagi membolehkan pakar di Hospital Umum Sarawak memberikan rawatan yang lebih menyeluruh kepada pesakit kanser di negeri ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata Pusat Kanser Sarawak merupakan sebuah hospital awam di bawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Jelasnya, beliau menyambut baik arahan Perdana Menteri kepada JKR Malaysia untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut dengan garis masa yang ditetapkan iaitu tender pada suku pertama 2026, kerja pembinaan bermula pada suku ketiga 2026 serta dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya sebelum 2031.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak menyokong penuh pelaksanaan projek berkenaan menerusi pembiayaan pinjaman berjumlah RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.
Langkah tersebut sekali gus mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur serta perkhidmatan kesihatan buat rakyat.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Pusat Kanser Sarawak akan menjadi komponen utama dalam pembangunan Metropolis Kesihatan Sarawak di Samarahan.
Projek itu meliputi koridor sepanjang enam kilometer yang mengintegrasikan hab perubatan dan penyelidikan termasuk Pusat Jantung Sarawak, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak serta Hospital UNIMAS.
Ia turut merangkumi institusi pengajian tinggi dan penyelidikan seperti UNIMAS, UiTM Sarawak dan Pusat Biodiversiti Sarawak serta zon perindustrian berhampiran.
“Cabaran terbesar dalam pembangunan perkhidmatan kesihatan pakar bukan sekadar membina kemudahan fizikal, tetapi menarik serta mengekalkan doktor dan jururawat pakar yang terlatih lagi berkemahiran tinggi.
“Ini kerana, apabila melibatkan hospital subkepakaran seperti pusat jantung atau pusat kanser, tiada jalan pintas.
“Kita mesti membangunkan infrastruktur dan pasukan perubatan bertaraf dunia kerana ini melibatkan soal hidup dan mati,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Hospital Umum Sarawak telah diiktiraf sebagai hospital penyelidikan klinikal terbaik di Malaysia bagi tempoh tiga tahun berturut-turut selain mendapat pengiktirafan di peringkat Asia.
Tambahnya, pencapaian itu membuktikan kekuatan Sarawak dalam bidang penjagaan kesihatan khusus yang berteraskan penyelidikan.



