ARTIKEL

Abang Johari menyerahkan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) serta Surat Hak Milik Tanah (SHT) Seksyen 18 KTN bagi kawasan DUN Tasik Biru di Bau, hari ini | Foto: Ghazali Bujang

Pusat Kebudayaan Bidayuh Bau bernilai RM9 juta mercu tanda baharu warisan komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAU: Pusat Kebudayaan Bidayuh Bau (BCC) bernilai RM9 juta menjadi satu lagi komponen penting dalam agenda pembangunan Bau yang memfokuskan pemeliharaan budaya dan pengukuhan identiti masyarakat Bidayuh.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Harry Jinep berkata, pusat itu dibangunkan bagi merealisasikan hasrat masyarakat Bidayuh yang sekian lama mengimpikan kemudahan sebagai lambang identiti, warisan dan perpaduan komuniti berkenaan.

Selain berfungsi sebagai pusat perhimpunan komuniti, kemudahan tersebut juga dijangka menjadi platform penting bagi memperkenalkan keunikan budaya Bidayuh kepada pelawat tempatan dan antarabangsa.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak tidak melihat projek ini sekadar sebagai sebuah dewan komuniti, sebaliknya ia dirancang sebagai sebuah mercu tanda di Bau.

“Bagi saya kemajuan sebenar adalah apabila kita maju tanpa kehilangan identiti dan akar budaya kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian BCC dan Penyerahan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) serta Surat Hak Milik Tanah (SHT) Seksyen 18 KTN bagi kawasan DUN Tasik Biru yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, projek di bawah peruntukan Projek Rakyat itu merangkumi dewan serbaguna yang mampu menampung lebih 1,000 orang, ruang pameran, kemudahan mesyuarat serta Baruk tradisional yang menjadi simbol identiti dan warisan masyarakat Bidayuh.

“BCC bukan sekadar sebuah dewan komuniti, sebaliknya dirancang sebagai mercu tanda budaya bagi Bau selaras dengan visi pembangunan yang digariskan menerusi Pelan Pembangunan Daerah Bau 2016-2030 dan Inisiatif Greater Bau 2030,” tambahnya.

BCC turut menjadi lokasi pelbagai program dan aktiviti masyarakat termasuk Bau Gawai Parade, program belia serta karnival pendidikan yang membantu memperkukuh pembangunan komuniti dan modal insan di daerah berkenaan.

Henry berkata, pembangunan Bau perlu dilaksanakan secara seimbang dan tidak hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur fizikal, sebaliknya turut merangkumi usaha memelihara identiti, warisan budaya dan perpaduan masyarakat.

“Bau mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan budaya dan warisan berdasarkan sejarah perlombongan emas, landskap batu kapur, gua semula jadi, potensi eko-pelancongan serta identiti budaya Bidayuh yang kukuh,” jelasnya.

Pada majlis sama, sebanyak 2,109 SHT Seksyen 18 KTN diserahkan kepada penerima di kawasan DUN Tasik Biru, menjadikan jumlah keseluruhan SHT yang berjaya dikeluarkan di kawasan itu sebanyak 6,168 sepanjang lapan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,316 lot individu melibatkan 1,142 penerima manakala 793 lot individu di bawah Skim Penyatuan dan Pemulihan Tanah (SALCRA) diserahkan kepada 655 penerima.

Turut diserahkan Warta Rizab Komunal Seksyen 6 melibatkan dua kawasan berkeluasan keseluruhan 130.7 hektar iaitu kawasan Banan merangkumi Kampung Grogo dan Kampung Sibuluh seluas 121 hektar serta kawasan Senggi-Poak di Jalan Batu Kawa, Tondong seluas 9.7 hektar.

Henry berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam usaha penyukatan dan pengiktirafan tanah NCR serta pengeluaran surat hak milik tanah demi kepentingan rakyat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU