ARTIKEL

Abdul Karim bersama Snowdan dan Hong Seng ketika ditemui wartawan (GHAZALI BUJANG)

Pusat Kraf dan Gastronomi Sarawak Disasar Siap Segera Rangkul Lonjakan Pelancong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembinaan Pusat Kraf Sarawak dan Pusat Gastronomi diharap dapat disegerakan kerana kedatangan pelancong yang semakin meningkat ke wilayah ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kedua-dua pusat ini penting untuk melengkapkan pengalaman pelancong di Kuching yang kini semakin mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Harapan saya kedua-dua pusat ini dapat disiapkan dengan cepat kerana kehadiran pelancong kini amat baik.

“Kita mahu pengunjung menikmati pengalaman yang menyeluruh ketika berkunjung ke Sarawak dari muzium ke kraf dan kulinari etnik Sarawak,” katanya ketika ditemui wartawan selepas Majlis Pelancaran Forum Fabrik dan Tekstil Ekofiber Dunia (WEFT) Ke-12 di Dewan Seri Mahligai Jalan Crookshank, di sini hari ini.

Ujarnya, Pusat Kraf Sarawak yang dirancang dibina berhampiran Muzium Budaya Borneo (BCM) akan menjadi pusat pameran jualan dan pentadbiran kraf negeri.

“Lokasinya strategik kerana pelawat boleh keluar dari muzium dan terus ke pusat kraf untuk melihat pameran atau membeli produk tradisional.

“Projek pusat kraf kini berada dalam peringkat awal termasuk proses pengambilan tanah dengan reka bentuk dan kelulusan daripada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah diperoleh,” katanya.

Menjelas lanjut beliau berkata, pembinaan mungkin akan mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan dan dijangka siap pada 2027.

“Pusat ini bakal menampilkan kepelbagaian hasil tangan masyarakat Sarawak termasuk keringkam dan songket Melayu pua kumbu masyarakat Dayak serta bakul dan manik masyarakat Ulu.

“Projek ini bukan sekadar bangunan fizikal tetapi platform untuk mempamerkan identiti dan kreativiti suku kaum negeri,” katanya.

Sementara itu, mengenai Pusat Gastronomi Abdul Karim berkata, projek tersebut sedang dalam pembinaan di kawasan Kolam Renang Kuching Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan dijangka siap pada Ogos tahun depan.

“Pusat Gastronomi ini merupakan keperluan yang perlu diwujudkan bagi memenuhi pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Gastronomi.

“Ia dibina bersebelahan kawasan renang dan direka sebagai bangunan ikonik yang mana keluarga boleh menikmati aktiviti rekreasi sambil turut disediakan ruang untuk penyediaan dan pameran makanan etnik Sarawak,” katanya.

Menurut laporan pada 20 Jun lalu selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Lembaga Pengarah Majlis Kraf Sarawak (SCC) di sebuah hotel di sini, Abdul Karim mengesahkan pembinaan Pusat Kraf Sarawak adalah sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan industri kraf sebagai pemacu ekonomi.

Ujarnya, pusat ini akan menempatkan pejabat tetap Majlis Kraf Sarawak (SCC) ruang galeri pusat latihan dan pentadbiran, sekali gus menjadikannya nadi utama pembangunan industri kraf wilayah ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU