LUNDU: Pembinaan sebuah pusat penjaja dan marina di kawasan Jambatan Rambungan dicadangkan bagi merancakkan kegiatan ekonomi serta meningkatkan tarikan pelancongan di Zon Sampadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, cadangan itu antara harapan masyarakat setempat susulan pelaksanaan projek Jambatan Rambungan yang dijadualkan siap pada suku keempat 2027.
Menurutnya, kedua-dua kemudahan berkenaan sebagai projek sampingan kepada jambatan itu berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk, khususnya peniaga dan pengusaha tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan 2026 di Dataran Lundu, di sini, hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengulas lanjut, Azizul berkata, pembangunan Lundu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi perhatian kepada infrastruktur, peluang ekonomi, pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan kemudahan asas.
Kerjasama kerajaan, komuniti, sektor swasta, usahawan dan golongan belia penting bagi memastikan pembangunan mampan dapat direalisasikan di daerah itu.
Beliau turut menekankan penglibatan generasi muda dalam bidang keusahawanan, teknologi, ekonomi digital, industri kreatif, sukan dan pelancongan bagi menyokong pembangunan Lundu.
Penganjuran Regatta Batang Kayan bukan sekadar pertandingan lumba perahu, sebaliknya menjadi platform mengukuhkan perpaduan masyarakat dan merancakkan ekonomi setempat.
Program tiga hari itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran dan jualan, Jualan Rahmah, pertandingan memanah, sukan rakyat, konsert rakyat serta Lundu Heritage Square Fest.
Acara utama regatta mempertandingkan pelbagai kategori termasuk Piala Parlimen P.193 Santubong, ADUN N.01 Opar, ADUN N.03 Tanjong Datu dan Raja Sungai.
Beliau berharap penganjuran regatta itu terus berkembang sebagai acara tahunan yang bukan sahaja memelihara warisan dan identiti masyarakat Lundu, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta pelancongan daerah berkenaan.






