KOTA SAMARAHAN: Pembinaan Pusat Sains Sarawak kini mencapai kira-kira 80 peratus kemajuan dengan prapelancaran dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, berkata kemajuan projek itu berjalan dengan sangat baik dan lebih awal daripada jadual.
“Justeru, kami berharap dapat mengadakan prapelancaran pada pertengahan tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian pembukaan program Discover Sains Together 2025 di Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI), di sini.
Menjelas lanjut, beliau berkata, meskipun pembinaan fizikal bangunan boleh disiapkan lebih awal, namun pihaknya mengambil masa untuk mendapatkan bahan pameran.
“Struktur fizikal bangunan boleh disiapkan lebih awal, tetapi kami perlu mendapatkan semua bahan pameran terlebih dahulu kerana kebanyakannya diimport dari luar negara, maka ia mengambil masa,” ujarnya.
Untuk rekod, Pusat Sains Sarawak dibangunkan di atas tapak seluas 10.8 ekar berhampiran bangunan ibu pejabat Sarawak Energy Berhad (SEB) di Jalan Stadium, Petra Jaya, di sini.
Sagah sebelum ini turut memaklumkan bahawa pembangunan pusat berkenaan, yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini, disokong oleh peruntukan sebanyak RM135 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2025 yang diumumkan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.






