KUCHING: Pusat Sains Sarawak mencatatkan kira-kira 200,000 pengunjung sejak mula beroperasi pada 29 Julai lalu sekali gus mencerminkan sambutan kemudahan pendidikan sains berkenaan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pusat itu juga menjadi destinasi pembelajaran terancang dengan menerima kunjungan daripada 67 sekolah serta kumpulan pelawat.
Katanya, pusat berkenaan turut menandatangani lima perjanjian strategik bersama Pusat Sains Singapura, Petrosains The Discovery Centre, Sarawak Metro, Persatuan STEM Kebangsaan dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
“Bagi memperluas jaringan antarabangsa, Pusat Sains Sarawak turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan National Science Museum, Thailand, semasa Persidangan Asia Pacific Network of Science and Technology Centres (ASPAC) 2026 di Bangkok, Ogos lalu.
“Kerjasama ini memperluas rangkaian rakan komunikasi sains Sarawak di peringkat serantau serta membuka peluang baharu bagi pertukaran pameran dan program,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan MEITD pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menambah SDEC juga terus memperluas ekonomi digital Sarawak melalui pendidikan STEM, keusahawanan, penyelidikan dan inovasi.
Menurutnya, program sokongan STEM kendalian SDEC telah memberi manfaat kepada 12,941 pelajar, 1,010 guru dan 622 sekolah manakala program Science on Wheels 2026 menjangkau 7,397 pelajar di 245 sekolah.
“Program pemula niaga dan pemecutan teknologi SDEC telah menyokong 49 alumni syarikat pemula niaga. Selain itu, lebih RM10.6 juta telah diperuntukkan kepada 69 projek penyelidikan translasi yang melibatkan 433 penyelidik setara sepenuh masa.
“Festival Animasi dan Permainan Borneo 2026 turut menarik kira-kira 23,000 pengunjung serta delegasi dari 14 negara, sekali gus memperkukuh ekosistem kreatif dan digital Sarawak,” ujarnya.
Sementara itu, Sagah memaklumkan, Program CENTEXS–SMD Semiconductor Mastery melahirkan 45 graduan, manakala latihan khusus diperluas pada 2026 bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor.
Katanya, Program Unggulan Semikonduktor Sarawak yang dilancarkan pada September 2026 bertujuan memperkukuh pembangunan bakat melalui pendidikan, latihan dan kerjasama industri, termasuk pengenalan cip pertama Sarawak yang direka bentuk oleh pelajar.
“Bagi memperluas kepakaran tempatan, Makmal Penyelidikan Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) ditubuhkan di tiga universiti di Sarawak, selain kerjasama antarabangsa serta penajaan seorang jurutera reka bentuk IC untuk mengikuti pengajian PhD di University of Bristol,” tegasnya.


