KUCHING: Daripada ngauman dinosaur hingga inovasi tenaga hijau, Pusat Sains Sarawak (SSCiEX) menyatukan pengunjung merentas generasi dalam keterujaan meneroka keajaiban Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Di sebalik pintu SSCiEX, pengunjung dibawa merentas masa dan cabang ilmu, bermula daripada dunia prasejarah yang dihuni dinosaur hingga teknologi aeroangkasa serta inovasi masa depan.

Tinjauan Suara Sarawak hari ini mendapati suasana di SSCiEX mula meriah seawal pintunya dibuka pada jam 9 pagi dengan kehadiran rombongan sekolah, keluarga dan kumpulan rakan.

Kemeriahan semakin memuncak menjelang jam 11 pagi apabila barisan pengunjung membanjiri kawasan hingga ke luar kaunter tiket, manakala kenderaan pula menunggu untuk memasuki kawasan SSCiEX.
Sambutan itu menggambarkan keterujaan masyarakat terhadap SSCiEX apabila kehadiran keluarga bersama anak-anak memperlihatkan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan memberi pendedahan awal mengenai STEM kepada generasi muda.
Ada antara mereka yang tekun menerangkan fungsi setiap pameran kepada anak-anak, manakala guru pula menjadikan lawatan ke SSCiEX sebagai bilik darjah bagi membantu pelajar memahami aplikasi sebenar ilmu yang dipelajari di sekolah.
Replika animatronik dinosaur dalam pelbagai bentuk dan saiz, daripada spesies kecil bersayap hingga dinosaur gergasi, menjadi antara tarikan pertama yang mencuri perhatian apabila kanak-kanak berpusu-pusu mendekatinya sebelum mencuba sesi menunggang dinosaur.


Keterujaan tidak terhenti di situ apabila simulasi gempa bumi turut menjadi tumpuan pengunjung yang mahu merasai sendiri gegaran serta memahami perbezaan antara magnitud dengan keamatan sesuatu gempa.

Tangki tsunami, meja simulasi gempa bumi, pembentukan puting beliung, pergerakan plat tektonik dan simulasi taufan pula membantu pengunjung memahami bagaimana fenomena alam berlaku menerusi pengalaman yang lebih dekat dan nyata.
Pengunjung turut diperkenalkan kepada pembentukan awan, susunan atom, lapisan bumi, medan magnet bumi serta kepelbagaian kayuan, batuan dan mineral.
Mikroskop yang disediakan pula membolehkan mereka mengamati struktur batuan dan tumbuhan secara lebih terperinci, sekali gus membuka mata terhadap keajaiban kecil yang sukar dilihat dengan pandangan biasa.



Khazanah alam Sarawak turut diketengahkan menerusi pameran ekosistem dalam balang terarium kecil yang menggambarkan habitat bakau, pantai, paya gambut, hutan hujan tebal dan kawasan pergunungan.
Pameran berkaitan Geopark Global UNESCO Delta Sarawak turut membawa pengunjung mengenali warisan geologi, landskap dan kepelbagaian alam yang menjadi identiti negeri ini.
Bagi kanak-kanak, ruang permainan air interaktif menjadi medan untuk berseronok sambil menguji prinsip asas sains melalui sentuhan, pergerakan dan pemerhatian.

Perjalanan ilmu STEM diteruskan di tingkat dua yang menampilkan pameran berkaitan tenaga, haba, cahaya, bunyi, daya, mekanik, komunikasi, elektrik dan kemagnetan.
Pameran rumah hijau dan tenaga boleh diperbaharui pula memperkenalkan sumber tenaga geoterma, angin serta solar yang semakin penting dalam usaha membina masa depan Sarawak lebih lestari.
Kepelbagaian pameran itu menjadikan SSCiEX lebih daripada sebuah tempat kunjungan, sebaliknya medan yang menghubungkan rasa ingin tahu kanak-kanak dengan ilmu, pengalaman orang dewasa serta renungan warga emas.
Bagi menyelami pengalaman tersebut, Suara Sarawak menemu bual pengunjung daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang yang hadir bersama keluarga, rakan serta rombongan sekolah.
Dari perspektif pendidikan, SSCiEX turut menerima kunjungan rombongan Tadika Kreatif yang terdiri daripada 53 kanak-kanak berusia enam tahun dan 20 kakitangan dari empat cawangannya di Kuching.
Penyelaras Tadika Kreatif, Lai Jing Yu berkata, lawatan itu memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak kerana pilihan lokasi bagi lawatan pendidikan awal di Kuching sebelum ini agak terhad.
Menurutnya, mereka lazimnya membawa kanak-kanak melawat muzium, Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Jong’s Crocodile Farm and Zoo, namun belum pernah menikmati pengalaman penerokaan STEM seumpama itu.
Ini merupakan pengalaman yang sangat mengagumkan kerana kanak-kanak belum pernah mendapat pendedahan seperti ini, terutama dalam bidang STEM.
Kebetulan, kami juga baru sahaja melengkapkan latihan STEM untuk semua kakitangan dan ilmu yang diperoleh akan diterapkan dalam pengajaran di bilik darjah.
Justeru, lawatan ini menjadi pendedahan awal kepada kanak-kanak sebelum mereka meneroka topik berkaitan dengan lebih lanjut apabila kembali ke sekolah kelak, katanya.
Mengulas lanjut, ujarnya, pengalaman secara langsung itu dijangka mendorong kanak-kanak berkongsi perkara yang dilihat dan dipelajari bersama guru serta ibu bapa mereka.
Keterujaan jelas terpancar sejak mereka melangkah masuk kerana sifat ingin tahu yang tinggi menyebabkan kanak-kanak tidak sabar untuk melihat dan mencuba setiap pameran.
Mereka terlalu teruja sehingga sukar untuk kami mengawal pergerakan mereka sebaik sahaja memasuki pusat ini.
Pengalaman seperti ini amat berharga dalam pendidikan awal kanak-kanak kerana mereka berpeluang belajar melalui penerokaan sebenar, tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap lawatan seumpama itu dapat diteruskan dengan membawa kumpulan kanak-kanak yang berbeza pada masa akan datang, termasuk mereka yang berusia empat dan lima tahun.
Katanya, SSCiEX bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, malah boleh dikunjungi pelajar sekolah menengah, golongan dewasa dan warga emas.
Saya bangga Sarawak kini mempunyai pusat sains sendiri kerana kanak-kanak di negeri ini tidak perlu pergi terlalu jauh untuk memperoleh pengalaman pembelajaran interaktif seperti ini.
Kita kini mempunyai tempat menarik yang boleh disyorkan kepada kanak-kanak untuk meneroka dan memupuk minat mereka terhadap STEM, tambahnya.
Sementara itu, Ketua Akademik Tadika Kreatif, Felicia Richard berkata, konsep STEM telah lama diperkenalkan kepada tenaga pengajar mereka untuk diterapkan dalam aktiviti pembelajaran kanak-kanak.
Bagaimanapun, katanya, SSCiEX menawarkan pengalaman lebih praktikal kerana kanak-kanak bukan sekadar membaca, malah dapat melihat, menyentuh dan mencuba sendiri pameran yang disediakan.
Kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu, jadi apabila melihat sesuatu yang baharu, mereka mahu mendekati dan mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Sejurus memasuki pusat ini, mereka begitu teruja melihat dinosaur bersaiz besar, malah guru-guru juga turut teruja.
Saya gembira melihat kanak-kanak berpeluang berinteraksi secara dekat dengan animatronik dinosaur, termasuk membelai dan mendukungnya, jelasnya.
Felicia mengakui dirinya turut terpukau dengan pameran berkenaan, khususnya model animatronik haiwan yang kelihatan begitu nyata.
Malah, ujarnya, kanak-kanak dalam rombongan tersebut masih belum berganjak daripada pameran dinosaur meskipun terdapat banyak lagi ruang menanti untuk diteroka.
Keterujaan sama dirasai seorang pelajar, Dayang Nur’inas Maheera, 14, yang pertama kali mengunjungi SSCiEX bersama keluarganya.
Katanya, keluasan pusat berkenaan dan kepelbagaian pamerannya jauh melangkaui jangkaannya sehingga membuatkan dia terkejut sebaik melangkah masuk.
Pameran di sini bukan sekadar untuk dilihat kerana kita juga boleh bermain dan mencubanya sendiri, menjadikan pengalaman pembelajaran lebih menarik, kongsinya.
Sebagai pelajar yang meminati fizik, kimia dan biologi, dia melihat SSCiEX sebagai ruang yang mampu mendekatkan generasi muda dengan mata pelajaran sains.
Kandungan pameran yang mempunyai kaitan dengan silibus sekolah membantu pelajar memahami topik pembelajaran melalui gambaran serta pengalaman sebenar.
Sains sangat menarik dan saya berharap lebih ramai remaja seusia saya akan meminatinya kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh.
Saya pasti akan datang lagi pada masa hadapan, mungkin bersama rakan-rakan supaya kami dapat meneroka lebih banyak bahagian, tambahnya.
Bagi seorang bapa, Ian Eng, 38, SSCiEX memenuhi keperluan keluarga di Kuching yang selama ini sukar menemukan ruang permainan pendidikan yang bersifat interaktif untuk kanak-kanak.
Ian yang datang ke SSCiEX bersama isteri dan dua anaknya berkata, kunjungan pertama mereka ternyata menyeronokkan meskipun baru sempat meneroka pameran dinosaur serta tangki tsunami.
Anak-anak saya sangat seronok dan pusat ini sememangnya memberi manfaat kepada kanak-kanak, kongsinya.
Keterujaan keluarganya begitu tinggi sehingga Ian sudah mempertimbangkan untuk kembali seawal minggu hadapan bagi meneruskan penerokaan bahagian di pusat sains itu.
Jika kanak-kanak hadir untuk bermain sambil belajar, warga emas pula menemukan ruang santai untuk menemani keluarga sambil menelusuri perkembangan ilmu dan teknologi.
Sharkawi Zain, 72, yang hadir bersama anak dan cucunya berkata, kegembiraan jelas terpancar pada wajah kanak-kanak yang memenuhi pusat berkenaan.
Walaupun memilih untuk menikmati kunjungan secara santai, Sharkawi mengakui tetap tertarik dengan beberapa model dan pameran yang terdapat di SSCiEX.
Pada usia 72 tahun, mungkin sudah agak lewat untuk saya mendalami STEM dengan terlalu serius, jadi saya lebih suka menerokanya secara santai.
Namun, pusat ini sesuai untuk semua, sama ada kanak-kanak, golongan dewasa mahupun warga emas, dan saya akan datang lagi apabila mempunyai masa, ujarnya.
Dia menyifatkan kewujudan SSCiEX sebagai satu pencapaian membanggakan kerana kemudahan seumpamanya dahulu lebih mudah ditemukan di negara Barat.
Dahulu, kita mungkin hanya dapat melihat pusat seperti ini di negara Barat, tetapi sekarang Sarawak sudah memilikinya sendiri.
Jika dipromosikan secara lebih meluas, saya percaya SSCiEX mampu menarik pelancong, termasuk pengunjung dari luar negara yang mahu menikmati pengalaman pendidikan dan mengenali Sarawak, katanya.
Sambutan daripada pengunjung pelbagai kaum, agama dan latar belakang memperlihatkan bahawa ilmu merupakan bahasa sejagat yang mampu menyatukan masyarakat.
Pada masa sama, kehadiran mereka mencerminkan kesedaran bahawa penguasaan ilmu dan teknologi menjadi asas penting dalam menyediakan generasi Sarawak menghadapi cabaran masa hadapan.
Dengan pameran yang menghubungkan alam prasejarah, kekayaan ekosistem Sarawak dan teknologi hijau, SSCiEX berpotensi berkembang sebagai tarikan pelancongan pendidikan bagi pengunjung tempatan serta antarabangsa.
Lebih penting, pusat itu menyediakan ruang untuk rasa ingin tahu berkembang menjadi minat, minat diterjemahkan kepada ilmu dan ilmu akhirnya menjadi pencetus kepada inovasi masa depan Sarawak.


