ARTIKEL

Sekitar rakaman ketika Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 P.197 Kota Samarahan di Hotel Imperial Kuching, hari ini.

Pusat Tingkatan Enam Samarahan sasar GPD 3.00

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pusat Tingkatan Enam (PTE) di Kota Samarahan terus memperkukuh komitmen meningkatkan kecemerlangan akademik menerusi sasaran Gred Purata Daerah (GPD) 3.00 yang diperkenalkan sebagai aspirasi bersama warga pendidikan di bahagian ini.

Penolong Kanan Tingkatan Enam (PK T6) SMK Muara Tuang, Masyziyati Mamat berkata usaha tersebut seiring dengan penganjuran Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 P.197 Kota Samarahan bagi memberi pengiktirafan kepada seluruh warga Tingkatan Enam.

Katanya, majlis berkenaan bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar, malah memberi penghargaan kepada guru dan pentadbir yang telah memberikan komitmen tinggi dalam memastikan kecemerlangan pelajar.

“Justeru, sasaran GPD tersebut perlu dilihat sebagai tanggungjawab dan aspirasi bersama oleh semua PTE di bahagian Samarahan dengan mengamalkan budaya kerja yang lebih sistematik, kolaboratif dan berfokus kepada kecemerlangan pelajar.

“Kami berharap sasaran itu juga dapat menjadi pemangkin kepada warga PTE untuk terus memperkukuh usaha, berkongsi amalan terbaik dan meningkatkan kualiti pengajaran serta pembelajaran demi memastikan pelajar Tingkatan Enam daerah Samarahan terus mencapai kecemerlangan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan dengan kerjasama PTE Samarahan menganjurkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan STPM 2025 P.197 Kota Samarahan yang berlangsung di Hotel Imperial Kuching.

Majlis yang turut mendapat sokongan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang itu juga diadakan bagi meraikan kecemerlangan akademik pelajar Tingkatan Enam di Samarahan, sekali gus memberikan penghargaan kepada pendidik, pentadbir dan pihak berkepentingan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan prestasi akademik serta kokurikulum pelajar.

Program tersebut turut melibatkan empat PTE dari Samarahan merangkumi SMK Asajaya, SMK Muara Tuang, SMK Kota Samarahan dan SMK Wira Penrissen serta menjadi platform untuk menghargai usaha serta komitmen berterusan warga pendidikan dalam membimbing pelajar mencapai prestasi yang membanggakan.

Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan Rubiah merasmikan sasaran GPD Tingkatan Enam daerah Samarahan bagi mencapai 3.00 sebagai satu sasaran bersama ke arah memperkukuh pencapaian akademik dan meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam di daerah berkenaan.

Dalam pada itu, Masyziyati memaklumkan bahawa sasaran GPD yang dirasmikan itu juga menjadi satu motivasi dan cabaran positif kepada semua pihak untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian akademik.

“Sasaran tersebut juga mencerminkan iltizam warga PTE Samarahan untuk terus meningkatkan prestasi akademik secara berterusan melalui kerjasama erat antara pihak sekolah, PPD, guru, pelajar, ibu bapa serta pihak berkepentingan,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU