Pusat transit untuk gelandangan Sibu

SIBU: Sebuah pusat transit atau Anjung Singgah Sibu dan Soup Kitchen untuk gelandangan di sini dicadangkan untuk ditubuhkan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah menjelaskan bahawa terdapat keperluan untuk menubuhkan pusat itu.

“Ini bagi kita menjaga imej bandar ini kerana ia tidak baik kepada pelancong.

“Ia membantu golongan terbabit untuk terus berdikari suatu hari nanti jika pusat kita tubuhkan ini dilengkapi kepelbagaian kemudahan,” ujarnya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, Fatimah yang juga Adun Dalat menghadiri Bengkel Pemurnian Penyelarasan Isu Gelandangan di Sarawak dan Mesyuarat Perbincangan Bagi Cadangan Penubuhan Pusat Transit/ Anjung Singgah Untuk Gelendangan di Sibu Bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Sibu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YKN Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Joni Nuruddin, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw serta ketua-ketua agensi dan jabatan berkenaan.

Katanya lagi, Anjung Singgah akan menjadi tempat perlindungan sementara bagi gelandangan dan boleh bermalam di situ daripada tidur di kaki lima.

Beliau berkata, setakat ini hanya Kuching sahaja mempunyai Anjung Singgah Kuching untuk gelandangan.

Menurutnya, Anjung Singgah Sibu dan Soup Kitchen di peringkat cadangan dan merancang untuk menubuhkannya di Maksak Sibu di sini.

Ujarnya, selain Sibu kementeriannya juga turut merancang untuk membina sebuah di Miri.

“Konsep Anjung Singgah menyediakan tempat tinggal kepada gelandangan untuk bermalam, beberapa bantuan sosial seperti makanan juga boleh diberikan kepada tidak mempunyai tempat tinggal,” katanya.

Beliau juga berkata, penyelesaian jangka panjang untuk golongan gelandangan juga dibincangkan semasa bengkel tersebut.

“Kami juga membincangkan mengenai peruntukan yang menyediakan kemahiran, padanan kerja dan sebagainya terutama kepada kumpulan produktif.

“Inilah dilakukan Kuala Lumpur melalui Anjung Singgah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Fatimah mendedahkan bahawa kakitangan Pejabat Residen Bahagian Sibu telah melawat Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Anjung Singgah Kuala Lumpur dan Pusat Pembelajaran Komuniti untuk golo- ngan gelandangan pada 18 Jun lalu meng- kaji beberapa cara terbaik untuk menyelesai- kan isu gelandangan di bandar ini.

Bagaimanapun jelasnya lagi, senario di antara Sarawak dan Kuala Lumpur berbeza di mana gelandangan di Sarawak kebanyakannya warga emas dan Kuala Lumpur lebih kepada kumpulan produktif.

“Oleh kerana terdapat sedikit perbezaan isu yang dihadapi, kami akan cuba mengubah suai pelbagai langkah yang kami pelajari di Kuala Lumpur, supaya ia sesuai dengan isu gelandangan yang kami hadapi di negeri ini,” katanya.

Beliau memberitahu sejumlah 54 operasi untuk menyelamatkan gelandangan dijalankan di negeri ini sejak 2016 hingga 2018 dengan 162 gelandangan diselamatkan.

Suara Sarawak