MIRI: Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Miri (Pustaka Miri) akan menganjurkan program Bejalai Storytellers pada 24 dan 25 September ini.
Program tersebut akan diadakan di enam buah sekolah yang telah dipilih di kawasan zon utara Sarawak ini.
Menurut Ketua Bahagian Perkhidmatan Penglibatan Komuniti Pustaka Miri, Dorithy Dela Lawrence, objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mendedahkan kanak-kanak kepada kreativiti bercerita, menarik minat membaca, serta membina keyakinan diri dan kemahiran pengucapan awam.
“Program ini menyasarkan kanak-kanak tadika dan sekolah rendah berumur antara empat hingga 12 tahun.
“Kami (Pustaka Miri) berharap agar melalui program ini dapat membantu kanak-kanak untuk memahami betapa pentingnya terus meneroka, belajar dan berkongsi pengalaman mereka dengan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Program ini akan melibatkan kanak-kanak tadika dan sekolah rendah di sekitar bandar raya Miri, Niah dan Baram.
Pada tahun ini, program ini akan menampilkan pencerita antarabangsa iaitu Anna Manuel dari Australia dan Kak Budi Baik dari Indonesia.
Untuk maklumat lanjut atau ingin mengadakan program serupa, orang ramai boleh menghubungi Pustaka Miri di talian 085-422525 atau melalui media sosial rasmi Pustaka Miri.


