SEGAMAT: Rasa cinta terhadap gasing dan keinginan melihat permainan tradisional itu terus berputar dalam arus kemodenan, membawa Muhammad Yunus Ismail ke dunia inovasi yang menyaksikan penghasilan gasing moden.
“Bagi saya, gasing mempunyai nilai sentimental kerana ayah saya merupakan pemain gasing sejak dahulu dan di kampung saya ini masih terdapat gelanggang gasing yang aktif, malah menjadi antara kira-kira 10 gelanggang gasing yang masih wujud di Malaysia. Jadi saya mahu warisan ini terus dikenali generasi akan datang,” ujarnya.
Ditemui Bernama di bengkelnya di Kampung Tenang di Johor, jari-jemari penggiat kraf kayu berusia 55 tahun itu tangkas mengendalikan mesin pelarik, membuat ukiran pada gasing kayu cengal itu.
“Kalau tiada yang lama, tiadalah yang baharu. Oleh sebab itu saya mahu gasing terus dikenali dan dimainkan sampai bila-bila,” tambahnya.
Memulakan perjalanan dalam industri kraf pada 2007 dengan menghasilkan produk daripada kayu hanyut untuk landskap dan hiasan taman, Yunus kemudian mengembangkan kecintaannya terhadap kayu-kayan menerusi pembuatan gasing yang diwarisi daripada bapanya.
Pun begitu, Yunus memberikan nafas baharu kepada pembuatan gasing bagi memastikan permainan tradisional itu terus relevan dalam dunia moden.
Beliau menjalankan penyelidikan dan pembangunan kira-kira tujuh tahun lalu bagi menghasilkan gasing rekreasi yang lebih mudah dimainkan dengan pelbagai reka bentuk seperti Gasing Helang, Gasing Bawang, Gasing Tenang, Gasing Mak Minah dan Gasing Dancing Ladies bagi menarik minat kanak-kanak dan golongan muda.
Berbeza dengan gasing tradisional yang memerlukan tali dan kemahiran khusus, gasing ciptaannya boleh dipusing dengan tangan di atas papan atau gelanggang khas, selain bersaiz lebih kecil dengan warna menarik, ceria dan moden.
“Gasing bukan hanya untuk orang lama. Saya mahu kanak-kanak dan orang muda juga seronok memainkan permainan ini dan kebiasaanya mereka yang baru belajar bermain gasing berdepan kesukaran mengendalikan tali, jadi saya hasilkan gasing yang lebih mudah dimainkan tetapi masih mengekalkan identiti gasing tradisional,” katanya.
Bapa kepada enam anak itu berkata beliau hanya menggunakan dua jenis kayu dalam penghasilan gasing tersebut, iaitu cengal dan merbau yang kedua-duanya mempunyai nilai warisan tersendiri.
“Cengal ialah kayu warisan, manakala merbau dikenali sebagai kayu kebangsaan. Saya mahu pelancong bukan sahaja mengenali gasing, tetapi juga mengenali keistimewaan kayu tempatan melalui produk yang mereka bawa pulang,” katanya, menambah gasing ciptaannya pernah dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan gasing pada 2018 di Johor.
Produk gasingnya mendapat permintaan tinggi hingga puluhan ribu unit, namun beliau terpaksa menolak kerana bengkelnya yang masih beroperasi secara manual cuma mampu mengeluarkan kira-kira 30 ke 50 unit sehari.
Kekangan modal menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan hasrat mendapatkan mesin separa automatik serta pembungkusan berkualiti bagi menembusi pasaran lebih luas.
Di sebalik kekangan yang dihadapinya, Yunus berpendapat kejayaan sebenar bukan diukur melalui jualan semata-mata, tetapi apabila warisan bapanya itu terus dikenali, dimainkan dan dihargai oleh generasi akan datang.
“Biar saya tinggal di kampung, tetapi produk saya sampai ke seluruh negara, malah saya berharap suatu hari nanti dapat menembusi pasaran luar negara. Paling penting, apabila orang melihat gasing, mereka akan mengingati Malaysia. Itulah impian saya,” katanya.-Bernama



