TOKYO: Jepun memantau rapat situasi, susulan kenyataan Presiden Rusia, Vladimir Putin melawat Kepulauan Kuril yang hak miliknya dipertikaikan kedua-dua negara, lapor Sputnik memetik kenyataan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi pada Jumaat.
Pada Khamis, Putin berjanji melawat Kepulauan Kuril dalam pertemuan dengan usahawan dari Timur Jauh Rusia
. “Semasa lawatannya ke Khabarovsk pada 11 Januari, Presiden Putin mengumumkan bahawa beliau turut melawat Kepulauan Kuril.
“Kami tidak dapat mengulas kenyataan yang dibuat oleh pegawai Kerajaan Rusia.
Kerajaan terus memantau keadaan dan bertindak sewajarnya,” kata Hayashi dalam sesi taklimat.
Beliau turut mengulangi pendirian bahawa Jepun meneruskan dasar sekatan terhadap Rusia dan menyokong Ukraine.
Empat pulau Kuril iaitu Iturup, Kunashir, Shikotan, dan Habomai merupakan wilayah yang dipertikai antara Rusia dengan Jepun sejak Perang Dunia Kedua, dengan kedua-dua negara tidak dapat menandatangani perjanjian damai.
Rusia menolak tuntutan Tokyo ke atas pulau-pulau berkenaan dan mewujudkan program pembangunan utama untuk pulau itu bagi tempoh 2016 hingga 2025. – Bernama-Sputnik



