ARTIKEL

Queenie bangga ketika menerima pingat perak. TVS - Awangku Afiq

Queenie Gagal Rampas Emas Olimpian Thailand, Tetapi Pingat Perak Tetap Menawan!

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANGKOK: Atlet Sarawak, Queenie Kung Ni Ting, memastikan kontinjen Malaysia berada di podium dalam acara lontar cakera wanita apabila berjaya merangkul pingat perak dengan catatan 51.81 meter.

Pingat emas pula dimenangi Olimpian Thailand, Insaeng Subenrat, pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Suphachalasai, Khamis malam.

Meskipun keadaan cuaca agak sejuk dan berangin, Queenie mempamerkan persembahan yang konsisten untuk menamatkan saingan di tempat kedua. Insaeng pula menguasai acara tersebut dengan lontaran kemenangan sejauh 58.86 meter.

Atlet Vietnam, Le Thi Cam Dung, melengkapkan senarai pemenang di tempat ketiga dengan lemparan sejauh 49.34 meter.

Bagi Queenie, keadaan cuaca yang baik sedikit sebanyak membantu memperagakan aksi terbaiknya.

“Bagi saya, malam ini ada ‘vibe’ yang sangat baik kerana cuacanya memang sesuai, agak sejuk tetapi juga berangin,” katanya selepas tamat pertandingan.

Walaupun sasaran utamanya adalah untuk mencabar rekod kebangsaan, Queenie mengakui masih terdapat sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki untuk mencapai impian tersebut.

“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dapat menghadiahkan pingat perak untuk negara.

“Sudah tentu sasaran saya adalah emas, jadi memang ada jurang sedikit,” jelasnya.

Queenie dalam pada itu turut memuji prestasi cemerlang juara acara berkenaan, Insaeng Subenrat.

“Pingat emas jatuh kepada atlet Olimpik Thailand, dan itu sangat memberi motivasi kepada saya.

“Saya perlu memikirkan bagaimana untuk mengurangkan jarak (lontaran) supaya dapat mencapai tahapnya pada masa akan datang,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU