PROGRAM Perjumpaan Semula Guru Palatih RTC/ MPR 1968-1985 berjaya menghimpunkan seramai kira-kira 300 bekas guru pelatih dalam satu majlis yang ceria dan berwarna-warni di Pusat Konvensyen Penview Kuching, Jalan Bako Petra Jaya pada 6 Oktober lalu.
Perhimpunan tersebut direalisasikan dalam rencana di ruangan Inspirasi kali ini dan penulis sempat merakamkan beberapa peristiwa menarik.
Pembuka tirai majlis tersebut dipersembahkan dengan tarian kipas dalam kalangan beberapa bekas penari yang dibimbing dan diketuai oleh Cikgu Sabri Nor diikuti lagu Maktab Perguruan Rajang dan bacaan doa.
Majlis disusuli ucapan aluan oleh Cikgu Sezali Ojek selaku Pengerusi Pengelola program.
Perhimpunan bekas guru pelatih yang penuh bersejarah, menyaksikan kehadiran pada perhimpunan kali ini luar biasa – sesuai dengan sambutan 60 tahun kemerdekaan Sarawak.
Majlis diserikan dengan kehadiran (Cikgu) Mohd Shukri Ramli yang kini merupakan Menteri Besar Perlis Indera Kayangan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Persatuan Pesara Guru Sarawak Datuk Abdillah Adam dan tokoh pendidikan guru, Encharang Agas – beliau merupakan pengetua paling lama berkhidmat di Maktab Perguruan Rajang, Bintangor.
Dalam ucapan, Cikgu Sezali Ojek memaklumkan bahawa Ex-Mapera menjalinkan hubungan baik serta bekerjasama dengan pihak Persatuan Pesara Guru Sarawak merancang serta melaksanakan beberapa aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan khususnya di sekitar bandar raya Kuching.
Antaran aktiviti kebajikan dijalankan ialah mengajar kelas tuisyen, bimbingan kepada calon yang menduduki peperiksaan awam.
TERPISAH LEBIH 40 TAHUN
Menurut Pengerusi Alumni Ex-Mapera Dr Abang Ismail Julhi, beliau memaklumkan Alumni Maktab Perguruan Rajang adalah yang paling aktif di Sarawak dan pernah menganjurkan majlis serupa sebanyak tiga kali pada 2023 yang berjaya menghimpunkan bekas pelatih hampir seluruh pelosok di Malaysia.
Beliau juga mengharapkan agar Alumni Mapera memberi sumbangan kepada pembangunan pendidikan di Sarawak.
Sebenarnya majlis ini bertujuan mengeratkan silaturahim dan memesrakan para peserta yang hadir setelah terpisah lebih 40 tahun.
Di samping itu, pihak penganjur turut mengundang beberapa mantan pensyarah maktab, lantaran mengenang jasa dan pada satu ketika dahulu mereka menyantuni serta mencurahkan ilmu pendidikan kepada guru pelatih.
Majlis diteruskan dengan pelbagai acara menarik untuk memenuhi atur cara bagi memeriahkan majlis tersebut.
Tetamu hadir juga disajikan dengan beberapa nyanyian karaoke oleh penyanyi maktab dan juga persembahan berkumpulan bimbingan Cikgu Edmund Nanggoi.
Atur cara majlis diselangseli dengan cabutan bertuah untuk mendapatkan hamper.
Tayangan slaid guru pelatih ambilan 1968-1985 turut diadakan menunjukkan aktiviti masa lalu yang penuh nostalgia.
Merancak lagi majlis pada malam itu ialah persembahan poco-poco dalam kalangan bekas pelatih guru yang hadir.
Majlis tersebut diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai melibatkan mantan pengetua maktab, mantan pensyarah dan semua bekas guru pelatih ambilan 1968-1985 dalam kalangan pelbagai kaum di Sarawak meliputi Melayu, Cina, Melanau, Bidayuh dan Iban tanda sehati sejiwa, senada seirama dan segulai sejalai.



