ARTIKEL

BERAKHIR...Para pemenang dan barisan jurulatih merakamkan gambar kenangan bersama.

Ragbi MSSB: Samarahan A pertahan kejuaraan pada aksi akhir Samarahan Derby

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Pertembungan Samarahan Derby berulang selepas pasukan Samarahan A dan Samarahan B bertemu kembali pada aksi akhir Kejohanan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Bawah 12 Tahun.

Aksi akhir yang berlangsung di Stadium Mini Samarahan pada Khamis, 24 Julai ternyata sekali lagi memihak kepada Samarahan A biarpun sekadar meraih kemenangan tipis ke atas pasukan lawan.

Keputusan penuh dengan mata 17-14 menyebabkan Samarahan B terpaksa akur meraih tempat kedua kejohanan, sekali gus menyaksikan pasukan itu gagal merampas kedudukan Samarahan A selaku juara pada edisi lalu.

Pegawai Teknikal Ragbi Sekolah Rendah Daerah Samarahan, Mohamad Syahril Ben bagaimanapun menyifatkan aksi pertembungan pasukan ‘adik-beradik’ itu berbeza berbanding pada edisi sebelumnya.

“Kedua-dua pasukan berjaya mempamerkan aksi terbaik dan dari situ kita dapat melihat mereka semakin berkembang dengan rentak permainan yang lebih teratur berbanding sebelumnya.

“Namun, kredit diberikan kepada kedua-dua pasukan kerana mampu mengekalkan gelaran selaku juara dan naib juara bagi mengekalkan kedudukan mereka seperti tahun lalu,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.

Mengulas lanjut, Syahril percaya potensi kedua-dua pasukan semakin berkembang menerusi sokongan beberapa pihak, khususnya pembabitan pasukan untuk mengikuti pertandingan di peringkat luar kawasan.

“Mereka semakin positif. Semestinya kita mengharapkan mereka (pemain) dapat mengekalkan momentum sebagai persediaan kita untuk mengikuti perlawanan lain pada masa akan datang.

“Pihak kami turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang banyak mendorong kami untuk pergi jauh dalam usaha mengasah bakat anak-anak tempatan dalam sukan ragbi,” tambahnya.

Sementara itu, Sebuyau A berjaya menduduki tempat ketiga kejohanan selepas menumpaskan Simunjan Zosper dengan keputusan 15-5.

Dalam perkembangan sama, Syahril menyifatkan kejohanan ini sebagai platform pemula untuk mencungkil bakat muda dalam arena ragbi.

Selain itu katanya, ia turut mengukuhkan semangat kesukanan serta kerjasama antara sekolah-sekolah rendah di daerah Samarahan.

Untuk rekod, pasukan Samarahan merupakan gabungan pemain dari Sekolah Kebangsaan (SK) Empila, SK Kampung Baru dan SK Mata Parang.

Selain Syahril, pasukan turut diterajui oleh jurulatih berpengalaman iaitu Bronson Moggie Supang Murui, Abd Kareem Fridaus Abd Razak, Anwar Selindan dan Seman Julai.

Terdahulu, sebanyak 11 pasukan telah berentap sepanjang kejohanan merangkumi Samarahan A, Asajaya Thunder, Sebuyau A, Simunjan Upper, Asajaya Warrior, Samarahan B, Samarahan C, Simunjan Zosper, Black Ant, Sebangan dan Sebuyau B.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU