Kumpulan nasyid legenda Raihan bakal menggegarkan pentas menerusi Konsert The Rayhan: Syukur 2026 pada 15 Ogos ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.
Evolusi daripada legasi nasyid legenda Raihan, The Rayhan kembali dengan sentuhan dan nafas baharu menerusi konsert yang dinantikan oleh peminat irama nasyid kontemporari tanah air.
Konsert The Rayhan: Syukur 2026 ini merupakan satu bentuk penghargaan tulus ikhlas buat para peminat yang setia menyokong perjalanan seni mereka sejak penghujung 1990-an sehingga kini.
Menurut Nazrey Johani, penjenamaan semula ini mampu memberikan alunan irama dan lagu yang lebih segar, moden dan relevan untuk generasi masa kini tanpa meninggalkan identiti asal.

Ditemani dua sahabat baiknya, Amran Ibrahim dan Afad Ahmad, konsert ini merupakan satu pengalaman spiritual yang penuh dengan nostalgia serta dekat dengan hati peminat.
Konsert ini bakal disajikan sebagai malam yang penuh dengan pengisian rohani yang merangkumi nafas baharu lagu klasik, pengembaraan visual, kolaborasi istimewa dan kualiti audio premium.
Menurut kumpulan tersebut, konsert ini merupakan cara mereka menzahirkan rasa terima kasih kepada Allah SWT dan para peminat yang sentiasa bersama-sama dalam setiap perjalanan seni mereka.
“Kami mahu malam ini menjadi detik refleksi, ketenangan dan kesyukuran bersama-sama.
Ia adalah tentang kembali kepada akar muzik yang menyatukan kita semua,” ujar mereka dalam satu kenyataan media.
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada Jumaat ini melalui platform tiket dalam talian rayhan.ubertickets.asia.
Legasi kumpulan nasyid legenda Raihan diteruskan dengan identiti baharu melalui penjenamaan semula sebagai The Rayhan.
Dengan kehadiran semula vokalis utama, Nazrey Johani, hala tuju kumpulan ini dilihat semakin jelas.
Dalam kemunculan semula yang dirancang ini, Nazrey tidak kembali bersendirian, sebaliknya berkongsi pentas bersama-sama Afad Ahmad dan Amran Ibrahim, nama yang sangat dirindui oleh peminat nasyid kontemporari negara.
Pernah menggunakan nama A.N.A The Rayhan, kini The Rayhan menjadi tanda permulaan baharu. Trio ini bertekad untuk bergabung semula dalam usaha mengharumkan lagi persada nasyid era 1990-an yang gemilang di seluruh dunia.
Semua lagu diberikan nafas dan suntikan semangat baharu yang serasi dengan generasi dahulu dan kini, namun masih mengekalkan bunyi vokal dan muzik asal sebagaimana Raihan pada suatu ketika dahulu.



